Nampaknya, Kedah Darul Aman (Kedah) bakal memenuhi kuota tonggak import mereka musim ini setelah sebelum itu mereka sudah pun menandatangani 7 pemain untuk musim 2023.
Kelibat dua lagi pemain import Kedah mula dikesan, selepas media sosial rasmi pasukan tersebut memuat naik gambar-gambar sesi latihan skuad simpanan mereka beberapa hari lalu.
Pada gambar tersebut, dua pemain import telah dikesan berlatih bersama para pemain muda Kedah musim ini dan tidak mengikuti pasukan utama ke Turkiye bagi jelajah pramusim.
Salah seorang pemain tersebut pantas dikenali para penyokong Kedah iaitu penyerang kelahiran Ghana, Ebenezer Assifuah yang sebelum itu pernah beraksi seketika buat pasukan ini dalam beberapa perlawanan persahabatan.
Sebelum ini, Kedah sudah pun membawa masuk seorang penyerang kelahiran Ghana itu untuk diuji terlebih dahulu sebelum ditandatangani kerana Assifuah memiliki rekod kecederaan lampau.
Namun, aksi yang dipamerkan Assifuah tidak mendapat tempat di hati kejurulatihan Kedah dan pemain itu dikhabarkan sudah pun dihantar pulang oleh pihak pengurusan kelab.
Walaupun tampil dengan rekod lampau yang agak menarik menerusi penampilan bersama skuad kebangsaan Ghana dan bermain dalam saingan liga di Eropah, aksi yang ditampilkan Assifuah jelas gagal memberi impak besar buat kem Kedah.
Apapun, penyerang tersebut kini sekali lagi kembali bersama Kedah dan dijangka bakal didaftarkan untuk skuad simpanan pasukan itu bagi mempertajamkan serangan.
Bekas Penjaring Terbanyak Piala Dunia Remaja Bakal Sertai Kedah?https://t.co/SvsyahRrZD
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 6, 2023
Ianya agak sukar untuk Assifuah didaftarkan bersama skuad utama kerana Willian Lira dan Jonathan Balotelli masing-masing sudah pun mempamerkan kualiti tersendiri sepanjang di Turkiye.
Seorang lagi tonggak import dikesan kami ialah pemain kelahiran Algeria yang sebelum ini pernah menjalani latihan bersama skuad simpanan Kedah iaitu Zakariya.
Menurut pemilik Kedah iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Zakariya merupakan seorang pemain bola sepak yang beraksi di negaranya, Algeria serta mahu mencuba nasib bersama Sang Kenari.
Zakariya sebelum ini juga dilaporkan telah pun pulang ke negara asalnya bersama seorang lagi pemain dari Kosovo iaitu Bezim selepas tidak berjaya mencuri perhatian para kejurulatihan.
Bintang Muda Algeria Dan Penyerang Kebangsaan Ghana Bakal Lengkapkan Senarai Import Kedah?https://t.co/U9Gm11bUwD
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 3, 2023
Dengan kehadiran Assifuah dan Zakariya, kini Kedah dilihat sudah pun melengkapkan sembilan kuota import mereka dan menunggu masa sahaja untuk diumumkan buat para penyokong.