Tiada siapa mampu meramal masa depan, namun selaku pengulas, Zachki Ahmad Suri pernah melabel bintang sensasi Harimau Malaya kini, Faisal Halim selaku ‘Next Big Thing’ kira-kira lapan tahun lalu – sekitar tahun 2015.
Sebagai seorang pengulas, tentunya beliau arif dengan apa yang dilihatnya.
Ketika itu, Faisal merupakan pelajar tingkatan lima di SMK Mutiara Impian dan sedang meningkat naik bersama skuad Piala Belia Pulau Pinang.
Ketika di sekolah rendah, pernah diceritakan oleh seorang guru yang beliau dikatakan akan gagal menjadi pemain bola sepak profesional disebabkan fizikalnya yang kecil, namun para guru tidak pernah menghalang minatnya.
Malah mereka tetap membantunya dengan dorongan yang lebih padu.
Malah, beliau pernah mencuba sukan lain iaitu sepak takraw sehingga mewakili negerinya di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Anyway, 17-year-old Faisal Abdul Halim's done signed with Pahang. After just three senior appearances for Penang. pic.twitter.com/WYfyvo1YrQ
— Darren Goon (@DarrenGoon) November 12, 2015
Tetapi, ternyata bola sepak menjanjikan sesuatu yang maha besar buatnya.
Perkara ini dikongsikan oleh Zachki yang merupakan pengulas sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) kepada Semuanya BOLA, yang mana, ketika Faisal masih di sekolah rendah, beliau menjadi tumpuan dalam satu kejohanan futsal yang berlangsung di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Ada orang ‘call’ mintak saya turun Safira, tengok ada sorang budak ni baguih, masa tu dia darjah enam. Dia main futsal di Safira, tahun 2010 rasanya. Memang baguih. Dok tertanya-tanya, mai mana budak ni. Depa habaq budak Mengkuang,” cerita Zachki yang sudah mengikutinya sejak dulu.
“Masuk tingkatan satu, dia pi sekolah sukan [SMK Mutiara Impian]. Dari kecil kita tengok dia ada potensi, masa tu dia dah ‘outstanding’. Masa tu di Safira tu punya penuh. Semua mai nak tengok dia. Kita pun pi turun hari Ahad nak tengok dia,” tambahnya lagi tentang betapa sensasinya Faisal tika itu.
Pada musim 2015, bermain bersama skuad Piala Belia, beliau menyerlah dan diberikan peluang tampil bersama skuad utama di Piala Malaysia.
Itulah musim debut dan musim terakhirnya di Pulau Mutiara apabila pada 2016, beliau dilamar Pahang (kini Sri Pahang) untuk bersama selama lima musim. Dalam usia yang masih muda, Faisal Halim tetap diberikan kepercayaan dan membuat lebih 80 penampilan sepanjang lima tahun.
Beliau berhijrah ke Terengganu FC pada musim 2021 dengan sasaran untuk menambah koleksi penampilannya dengan beraksi di pentas Piala AFC. Namun, saingan Piala AFC 2021 Zon Asean terpaksa dibatalkan akibat pandemik COVID-19 yang melanda serata pelusuk dunia pada ketika itu.
Begitupun, ia tidak menyekat kemampuan dirinya. Beliau menyerlah dalam saingan Liga Super 2021 dan membantu Sang Penyu menamatkan musim di tangga ke-4. Beliau juga antara dua pemain berusia B-23 yang beraksi dalam semua perlawanan liga bersama Quentin Cheng dari Penang FC.
Merekodkan 1609 minit permainan, pemain yang mesra disapa Mickey itu berjaya melakar empat gol. Beliau turut dipanggil untuk menyertai skuad Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan. Biarpun tewas, penampilannya mendapat pujian ramai.
Kini, beliau adalah tonggak utama skuad negara yang dikendalikan Kim Pan-gon dan lebih membanggakan, beliau turut pernah diberikan lilitan kapten.
Sidang media praperlawanan menjelang perlawanan ketiga Kumpulan B, Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, Vietnam lwn Malaysia telah berlangsung di Hanoi, sebentar tadi.
Ia dihadiri ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon dan kapten, Faisal Halim. pic.twitter.com/CDRRhVr3d1
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 26, 2022
Pada Mac 2015, menerusi muat naik di Facebooknya, Zachki berkata, “‘Next Big Thing’. Permata baharu Pulau Pinang, kini bersama Pasukan Piala Belia. Pelajar tingkatan 5 Sekolah Mutiara Impian ini merupakan Pemain Terbaik Soccer Kids TV3 2010 dan antara pemenang Mencari Ramli 3 tahun 2014.”
Disertakan gambar Faisal di muat naik tersebut sebagai ‘Next Big Thing’.
Ternyata pemain tersebut akhirnya kini sudah menjadi ternama selepas hampir lapan tahun ia dititipkan oleh pengulas tersebut di Facebooknya.
Sebagai pengulas yang sudah melihat dan mengulas banyak perlawanan domestik, bahkan Piala Dunia, apa yang dititipnya wajar diberikan perhatian.
Selain itu, sebagai seorang yang menetap di Pulau Pinang dan menjadi jurucakap di stadium untuk aksi melibatkan Penang FC, pemerhatiannya terhadap bakat-bakat yang ada di sana mungkin sangat tajam.
Siapa lagi pemain kelahiran Pulau Pinang yang menerima label seperti Faisal? Selepasnya, ini adalah permata baharu bola sepak Pulau Pinang.
Beliau baru sahaja menerima panggilan untuk bersama skuad B-23 negara kendalian E Elavarasan menyertai kem latihan pusat bermula 14 Februari hingga 19 Februari 2023. Sudah dapat gambaran siapa gerangannya?
Daripada senarai 25 pemain tersebut, Elavarasan telah memanggil seramai 19 pemain baharu bagi menjalani kem latihan selama enam hari untuk menguji mereka sebagai persiapan untuk Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Tidak lain dan tidak bukan, pemain yang dimaksudkan adalah adik kepada bintang Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba, iaitu Haziq Kutty Abba.
Pada 2019, Zachki memberi fokus kepadanya yang merupakan tonggak Penang Free School yang bakal menentang SMK Mutiara Impian di final bola sepak B-15 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pulau Pinang (MSSPP).
Menurutnya, Haziq sebenarnya berpotensi besar. Untuk musim depan, beliau tidak akan bermain bersama skuad Piala Presiden tetapi telah dipromosikan terus ke skuad B-23 Penang yang bermain di Liga MFL.
“Coach Akmal [Rizal] nampak potensi dia, terus ‘promote’ ke skuad B-23. Dia ada karekter untuk pergi lebih jauh,” ungkap Zachki tentang Haziq.
Seperti abangnya, menurut Zachki tentang posisinya, pemain berusia 19 tahun itu boleh bermain sebagai pemain tengah bertahan dan menyerang.
Adakah kita akan bakal melihat satu lagi bintang bersinar? Masih muda, melangkau saingan Piala Presiden terus ke skuad B-23 dan menerima panggilan skuad B-23 kebangsaan, mungkin inilah masa buatnya?