Walaupun tiket Piala Harapan 2023 dikecam disebabkan ia dikatakan seperti kupon hari kantin, ia telah habis dijual untuk pertembungan antara Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC yang berlangsung malam nanti.
Kejohanan empat penjuru anjuran Penang FC itu telah disertai Kedah, Selangor dan sebuah kelab dari Singapura, Geylang International FC.
Ia bermula pada 1 Februari dan dijangka akan berakhir pada 4 Februari dengan pemenang aksi pertama akan mara ke final kejohanan tersebut. Malam tadi, Penang telah menundukkan Geylang dengan keputusan 4-0.
Pertembungan antara Kedah dan Selangor sememangnya dijangka menarik perhatian ramai kerana bakal menampilkan dua pengendali ternama, Nafuzi Zain dan Tan Cheng Hoe selain beberapa bintang skuad kebangsaan.
Sebentar tadi, pengurusan Penang telah mengumumkan yang tiket fizikal telah habis dijual selepas dua jam kaunter jualan dibuka di stadium.
Ia mengejutkan banyak pihak terutamanya yang sedang beratur di kaunter, malah ada juga yang masih dalam perjalanan untuk menuju ke stadium.
Bagaimana stadium berkapasiti 40,000 penonton itu telah habis dijual dalam tempoh masa dua jam? Malah, perlawanan diadakan pada hari bekerja – yang juga tidak terkecuali menerima kritikan pedas tempohari.
Ini bermakna sambutan bagi kedua-dua pasukan amat menggalakkan, malah pertembungan ini menemukan dua pasukan penuh tradisi.
Atas sebab itu, masih ada penyokong yang dilihat setia menanti di kaunter dengan harapan akan ada tambahan jualan diumumkan dalam hujan lebat!
Tiket untuk aksi Piala Harapan 2023 antara Kedah Darul Aman menentang Selangor sudah dilaporkan habis dijual. Ini adalah keadaan semasa, masih ramai menantikan tiket! 🤯
Dilaporkan Penang akan keluarkan tiket tambahan untuk malam ini. Jumlah tambahan tidak pasti. pic.twitter.com/YsAY8Vp2or
— Naz 🇲🇾 (@NazreenIzahar) February 2, 2023
Semuanya BOLA difahamkan oleh rakan sekerja yang bertugas di lokasi, jumlah sebenar tiket yang dibuka untuk jualan adalah 8,000 keping.
Ini kerana, bahagian tempat duduk penonton di kawasan atas stadium itu ditutup atas faktor keselamatan. Jadi, itulah jumlah tiket yang habis dijual.
Selain itu, untuk jualan ‘Pay Per View’ yang akan disiarkan secara langsung sebentar lagi oleh Balrz.tv, difahamkan hampir mencapai 3,000 tiket.
Pengurusan Penang telah mengumumkan pihaknya telah menambah 1,000 keping tiket untuk penyokong yang masih menanti di kaunter stadium.
Cukup? Tidak dapat dipastikan kerana mengikut pengalaman jualan tiket pada hari bekerja, akan ada yang sampai sekitar jam 8.00 malam.
Ini satu perkembangan yang menarik kerana ini cuma perlawanan pemanas badan antara kedua-dua pasukan. Namun, impak disebalik persediaan kedua-dua pasukan menyaksikan sambutan yang diterima sangat baik.
Buruk atau tidak tiket yang disediakan oleh Penang, yang pasti ia telah habis terjual. Hari bekerja atau tidak, penyokong tetap menzahirkan sokongan.