Agak kecoh di media sosial apabila Semuanya BOLA pada hari ini menerbitkan artikel tentang ‘kecuaian’ Syifa Melvin, iaitu isteri kepada pemain kebangsaan Safawi Rasid yang berkongsi pautan ke laman web Score808 di akaun media sosial miliknya.
Terdapat segelintir netizen yang mendakwa kenyataan tersebut adalah ‘fitnah’ kerana ia hanyalah laman web untuk menonton siaran langsung perlawanan bola sepak.
Syifa Melvin Promosi Laman Judi, Adakah Suatu Kesilapan Atau Disengajakan?
Mesej artikel tersebut adalah jelas. Score808 adalah sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan perjudian bola sepak yang tidak dilesenkan secara sah.
Tujuan laman web tersebut menyiarkan siaran langsung secara haram adalah kaedah untuk penontonnya membuat pertaruhan di bahagian bawah skrin siaran langsung tersebut.
Maka jelas di sini bahawa tindakan Syifa Melvin tersebut bersangkutan dengan dua kesalahan iaitu mempromosikan platform perjudian haram (tidak berlesen) dan siaran langsung haram.
Laman web perjudian haram ini tertakluk di bawah Seksyen 263(2) Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga boleh diambil tindakan yang lebih keras di bawah di bawah peruntukan undang-undang lain yang berkaitan iaitu Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Mengenai siaran langsung penstriman haram pula ia merupakan kesalahan dari segi undang-undang negara berdasarkan akta Hak Cipta 1987 (Akta 332).
Pada Disember 2021, Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-undang Hak Cipta (Pindaan) 2021 bertujuan untuk mengukuhkan penguatkuasaan hak cipta khususnya dalam persekitaran digital dengan memperkenalkan kesalahan pelanggaran hak cipta melibatkan teknologi penstriman selepas perkembangan karya secara dalam talian.
Malah dalam hukum agama juga, penyiaran siaran haram ini telah pun dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah.
“Tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang. Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut.
Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.
Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya. Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT melalui firmanNya berikut:
وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.
Surah al-Baqarah (188)
Selain itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran. Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak. Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak.
Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya. (Rujuk Majalah Majma’ Fiqh al-Islami 2080/5[2]; Fiqh Nawazil 165/2[3])
Selaku isteri kepada pemain tersohor negara, Syifa Melvin seharusnya lebih berhati-hati agar tidak mempromosikan platform perjudian dan siaran langsung haram. Seperti yang kami tegaskan dalam artikel terdahulu, kemungkinan besar ia adalah tindakan yang tidak disengajakan.
Bagi netizen pula, anda mungkin boleh menggunakan apa sahaja ‘hujah’ untuk merasionalkan laman web tersebut, tetapi pendirian Semuanya BOLA adalah ianya perlu dibanteras kerana bukan sahaja melanggar undang-undang negara, tetapi juga bersalahan dari segi hukum agama.