‘Tak Masuk Akal?’ – Adakah Piala Sumbangsih Tiada Nilainya Hingga Dimasukkan Dalam Aksi Liga?

Piala Sultan Haji Ahmad Shah Sumbangsih perlawanan liga

Hanya semusim Piala Sumbangsih dipisahkan dengan perlawanan pertama Liga Super iaitu pada edisi 2022, berlainan dengan format asal sebelum ini.

Untuk musim 2023, Piala Sumbangsih dikacukkan semula dengan aksi pertama liga menyaksikan juara liga musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu dengan naib juara liga, Terengganu pada 23 Februari depan.

Pada edisi lalu, Piala Sumbangsih menyaksikan pertembungan antara juara liga, JDT dan juara Piala Malaysia, KL City – JDT raih kemenangan 3-0. Ia dilakukan di hadapan lebih 15,000 penyokong mereka di halaman sendiri.

Ia kemenangan penuh makna selepas Harimau Selatan kecundang 0-2 di penutup saingan Liga Malaysia iaitu Piala Malaysia pada November 2021.

Sedikit sebanyak ia mengubat duka Sang Harimau yang dikejutkan oleh The City Boys di pentas final yang tidak pernah dijangka sesiapa sehinggakan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) tidak jadi untuk berehat seketika.

Mereka berjaya membalas dendam kekalahan di penghujung musim di Piala Malaysia dengan kejayaan di pembuka tirai, Piala Sumbangsih 2022.

Itu kisah kehangatan untuk edisi lalu. Dan ia tidak termasuk dalam aksi pertama Liga Super yang berlangsung seminggu selepas perlawanan itu.

Relevan atau tidak kacuk kedua-dua pertandingan?

Pemerhati bola sepak tempatan dan juga penganalisa di portal Vocket FC, Axello pernah mengatakan ia sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.

Memang tak masuk akal. Sebab Piala Sumbangsih itu berbentuk ‘cup competition’. Dan perlawanan liga pula berbentuk liga yang dimainkan hanya 90 minit,titipnya di portal miliknya, Axello.net sekitar Januari tahun lalu.

Beliau memberikan contoh dimana jika pemenang pertandingan berbentuk piala beraksi di divisyen kedua. Konflik boleh berlaku saat itu menurutnya.

Bayangkan ‘eligible team’ main Charity Cup tu JDT (MSL) vs Kelantan (MPL). Kira macamana?” titipnya mengenai konflik yang bakal boleh berlaku.

Ini kerana, aksi Piala Sumbangsih akan menemukan juara liga dan juara Piala Malaysia. Dan jika ditakdirkan juara Piala Malaysia adalah pasukan dari Liga Premier, apa yang bakal berlaku? Perubahan format sekali lagi?

Ia hampir pernah berlaku iaitu untuk edisi 2006, di mana pada musim sebelumnya Selangor bermain di Liga Premier tetapi muncul juara Piala Malaysia 2005. Mujur sekali, Selangor bakal beraksi di Liga Super 2006 apabila menjuarai saingan divisyen dua Liga Malaysia itu pada 2005.

Berapa kali format kejohanan mahu diubah oleh operator Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) bagi mengelakkan ia dibahaskan?

Ketika format diubah pada edisi 2022, ia mengundang perbahasan tentang gelanggang yang menjadi tuan rumah untuk aksi di luar Liga Super itu.

Nama pun Sumbangsih, bukan kejuaraan utama

Tambah Axello lagi, Piala Sumbangsih ini seperti perlawanan pramusim. Disebabkan itulah, pemenangnya tidak dianggap menjuarai treble jika menang dua kejuaraan utama dan Piala Sumbangsih di awal musim itu.

Di Malaysia, treble melibatkan kejuaraan liga, Piala FA dan Piala Malaysia.

Kelantan misalnya telah melakukan treble pada musim 2012. Kedah pula merekodkan double treble pada musim 2007 dan 2008 – yang belum dipecahkan oleh mana-mana pasukan di Liga Malaysia termasuklah JDT.

JDT hanya berjaya melakukan treble pada saingan Liga Malaysia 2022.

Jadi, mengapa perlu ia dimasukkan dalam jadual sebagai perlawanan pertama? Adakah disebabkan ia tidak menjamin apa-apa buat pemenang sehingga ia terpaksa ditolak masuk ke dalam aksi pertama Liga Super?

Tidak bolehkah ia terus dianggap sebagai pembuka tirai saingan musim baharu, menemukan dua pasukan terbaik Liga Malaysia musim lalu?

Perlawanan pramusim terakhir yang diangkat tahap kemeriahnya dengan menemukan pasukan terbaik musim lalu sebagai pembuka selera.

Bagaimana format Piala Sumbangsih di negara lain?

Menurut Axello sebelum ini, tiada negara yang sepakat meletakkan Piala Sumbangsih dalam aksi liga. Dalam liga-liga ternama di luar negara, Piala Sumbangsih tidak pernah dianggap sebagai aksi pertama liga di sana.

Yang berbeza mungkin hanya format pertandingan untuknya. Sebagai contoh di England, Community Shield hanyalah pembuka tirai musim menemukan juara Premier League dan Piala FA musim sebelumnya.

Dan jumlah pertukaran pemain adalah seperti format pemanas badan.

Malah, menurut pengulas BBC, Mark Lawrenson yang berkata sekitar tahun 2007, Community Shield ini tidak lebih hanya sekadar ‘glorified friendly’.

Bekas pengendali Manchester United, Sir Alex Ferguson juga pernah dipetik berkata, “Community Shield adalah perlawanan yang berprestij tetapi saya hanya menggunakan pemain yang tidak begitu cergas [bermain] untuknya.

Ia sentiasa perlawanan yang tidak pernah kami anggap sebagai penting dan kami gunakannya sebagai pengukur untuk tahap kecergasan [pemain],” jelas pengendali tersebut menjelang aksi Community Shield sekitar tahun 2008.

Di Itali pula, Supercoppa Italiana sebelum ini dianggap sebagai pembuka tirai saingan liga. Ia kemudian dilangsungkan di pertengahan musim.

Masih, ia tidak termasuk dalam kalendar liga sebagai satu aksi penting. Ia menemukan juara Serie A dan Coppa Italia musim sebelumnya di luar Itali.

Untuk Sepanyol pula, Supercopa de Espana melibatkan empat pasukan sejak musim 2019/20 – juara dan naib juara La Liga dan Copa del Rey.

Takrifan Sumbangsih, ia bukan Piala Sumbangsih!

Bekas Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Datuk Jasni Shafie sentiasa mengingatkan kepada pihak media tentang kesalahan dalam penulisan mahupun ulasan untuk Piala Sumbangsih saban tahun.

Ia bukan Piala Sumbangsih, tetapi sepatutnya Piala Sultan Haji Ahmad Shah. Ia dikenali perlawanan Sumbangsih bukannya Piala Sumbangsih.

Tetapi, ia tetap dikenali Piala Sumbangsih waima cuba dibetulkan semula. Jadi, jika ia adalah perlawanan Sumbangsih, maka ia semata-mata adalah perlawanan. Malah perkataan sumbangsih itu menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberi makna bantuan, sokongan atau sumbangan.

Menurut DBP, sumbangsih biasanya digunakan sebagai tema satu majlis berbentuk sumbangan. Ia adalah tema untuk Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Sebagaimana ia dikenali di England sebagai Community Shield (sebelum ini Charity Shield) ia menjurus membawa kepada maksud sumbangan.

Untuk aksi Community Shield, penganjurnya, The FA memaklumkan yang segala hasil kutipan tiket dan jualan program perlawanan akan diagihkan kepada 124 pasukan yang bertanding di Piala FA. Ia turut diagihkan kepada badan-badan amal terpilih selain rakan kongsi badan amal kebangsaan.

Oleh itu, perkataan sumbangsih yang digunakan oleh Liga Malaysia juga membawa kepada maksud yang sama dengan yang digunakan di England.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada amalan The FA adalah sama dengan MFL untuk perlawanan Sumbangsih. Mungkin ia sekadar tema.

Ini kerana apabila hak tuan rumah adalah kepada juara Liga Super musim sebelumnya, mereka berhak menentukan jumlah tiket untuk penyokong lawan. Jadi, hasil kutipan tiket adalah hak tuan rumah dan mereka akan mengutamakan penyokong mereka sendiri, bukan hak sama rata.

Jadi, sebagai perlawanan yang tidak memberi makna apa-apa selain tidak menjamin apa-apa buat pemenangnya, adakah ia sesuai dijalankan dalam aksi pertama liga? Nampak seakan-akan ia memberi asas kukuh di situ.

Anugerah tiga mata buat pemenang dan bukan sekadar trofi mungkin sesuatu yang lebih menarik dan mahu diperjuangkan oleh pemain?

Bermula dengan langkah kanan di saingan liga adalah kemahuan setiap pasukan. Ia menambah kehangatan perlawanan sumbangsih berbanding hanya dianggap sebagai aksi terakhir pramusim pasukan yang terlibat.

Malah, menurut Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, ia pembaziran seminggu kalendar liga, jika diasingkan daripada kempen liga.

Bagaimana pendapat pembaca? Adakah wajar ia dikacukkan semula atau diasingkan daripada perlawanan pertama Liga Super? Relevan atau tidak?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN