Kepulangan Hadi Fayyadh dari Jepun untuk menyertai pasukan Perak adalah satu berita mengejutkan ramai pihak kerana tiada sebarang khabar angin untuk dirinya pulang ke Malaysia.
Semua sedia maklum, beliau mula berkelana ke Jepun dari 2019 sehingga 2022 dan hampir tiga tahun menimba ilmu di negara Matahari Terbit itu.
Ini adalah masa terbaik untuk beliau menunjukkan kepada peminat yang keputusan dirinya ke sana adalah sesuatu yang berbaloi.
Namun menjadi persoalan, mampukah penyerang tinggi lampai ini membuktikan dirinya adalah pemain terbaik di Liga Malaysia musim ini?
Dengan pengalaman bersama skuad muda Malaysia dan bermain di J2 dan J3 League, sedikit sebanyak dari segi gaya permainan pasti dapat membantu dirinya menjadi lebih baik dan dapat membantu rakan sepasukan yang lain.
Skuad Seladang di bawah bimbingan Lim Teong Kim (LTK) ketika ini dalan proses pembentukan pasukan dan beliau merekrut begitu ramai pemain muda untuk memperkuat skuadnya.
LTK lebih gemar kepada pemain tempatan serta bakat muda dan disebabkan itu, penyerang berusia 23 tahun ini antara sandaran utama untuk posisi tersebut.
Jika melihat dari segi saiz, Hadi mempunyai ketinggian 1.86 meter dan ini sudah tentu satu kelebihan terutama ketika bola tinggi untuk bersaing dengan pemain pertahanan yang majoritinya terdiri daripada awang import.
Malah ia juga memberi kelebihan dari segi bola mati seperti seperti sepakan penjuru dan sepakan percuma.
Dengan status pernah bermain di salah satu liga terbaik di Asia, adakah bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) ini mampu menyinar di Liga Malaysia bersama pasukan baharu?
Reputasi bermain di Jepun membuat peminat tidak sabar untuk melihat bagaimana perkembangan pemain ini di atas padang.
LTK mempunyai rekod yang sangat baik dalam membimbing skuad muda dan pernah capai beberapa kejayaan ketika bersama Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dalam Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).
Malah beberapa nama besar seperti Luqman Hakim, Harith Naem, Azhad Harraz dan ramai lagi berjaya dilahirkan ketika di bawah bimbingannya.
Adakah nama Hadi Fayyadh akan menjadi fenomena pada musim ini sekali gus membuka ruang untuk dirinya menebusi skuad kebangsaan kendalian Kim Pan-gon?
Mampukah LTK melahirkan penyerang berbisa seperti beliau lakukannya sebelum ini? Kita nantikan musim ini.