Pengendali Thailand, Mano Polking mahukan skuadnya untuk mencabar dengan lebih hebat lagi selepas mereka berjaya meraih gelaran Piala AFF 2022.
Berjaya mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi 2020, Thailand kini pastinya mahukan kejayaan yang lebih besar daripada ini pada masa akan datang.
Dan menurut Polking, kejayaan itu hendaklah disambung dengan prestasi yang gemilang di tahap yang lebih tinggi.
Polking kini mengarahkan untuk pasukannya mencabar dengan keras jaguh-jaguh Asia pula dengan kejohanan terdekat iaitu Piala Asia akan mengambil tempat.
“Thailand perlu membuktikan kehebatan mereka dalam kejohanan yang lebih besar seperti Piala Asia dimana pasukan yang lebih kuat seperti Jepun, Korea Selatan atau Emeriah Arab Bersatu. Kita perlu berusaha lebih keras dan maju lebih lagi,” kata Polking.
Thailand berjaya menewaskan Vietnam dengan kemenangan agregat 3-2 selepas kemenangan 1-0 pada aksi kedua memastikan kejuaraan milik mereka.
Jaringan ketua pasukan, Theerathon Bunmanthan memastikan kejuaraan kekal milik Thailand dengan Vietnam berputih mata pada perlawanan terakhir Park Hang-seo.
Polking dalam masa yang sama, turut memuji Park sebagai salah seorang jurulatih yang cukup bagus dan memberikan nilai tambah kepada pasukan bola sepak Asia Tenggara.
“Beliau adalah jurulatih yang bagus. Saya doakan kejayaan beliau dalam babak seterusnya.
“Saya juga menghargai semangat beliau untuk bola sepak dan dedikasinya untuk bola sepak Vietnam,” ujar Polking.
Tahun 2023 bakal menjadi detik penting buat Thailand dan tiga lagi negara ASEAN kerana mereka perlu mempersiap untuk berdepan pelbagai jaguh Asia.
Selain Thailand, Malaysia, Vietnam dan Indonesia juga dalam misi menyiapkan pasukan untuk Piala Asia 2023 di Qatar kelak.