Berusia 34 tahun, Teerasil Dangda boleh dianggap sebagai antara ‘kuda tua’ dalam skuad Thailand dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Namun, impak yang dibawanya masih dirasai skuad Gajah Perang sehingga ke saat ini. Malah, beliau antara penjaring terbanyak kejohanan setakat ini bersama Faisal Halim (Malaysia), Maung Maung Lwin (Myanmar) dan Kenshiro Daniels (Filipina) – tiga gol. Jadi, beliau masih tunjang pasukan.
Beliau tampil bermain dalam ketiga-tiga perlawanan Thailand setakat ini.
Thailand berada di Kumpulan A bersama Indonesia, Kemboja, Filipina dan Brunei. Peringkat kumpulan masih berbaki satu perlawanan dengan akan bertemu Kemboja pada lewat petang ini dan Indonesia bertemu Filipina.
Goals 💥
Assists 👌👀 A closer look at the all-time 🔝 scorer Teerasil Dangda’s #AFFMitsubishiElectricCup2022 so far.#BeTheGameChanger pic.twitter.com/cC3llsqg7u
— AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmecup) January 1, 2023
Apa yang menarik tentang Teerasil pada edisi kali ini adalah beliau bukan hanya menyumbang gol, malah turut melakar dua ‘assists’ buat pasukan.
Pengendali pasukan, Mano Polking dilihat menggunakan formasi asas 4-4-2 dalam ketiga-tiga perlawanan setakat ini dengan menggandingkan Teerasil dengan penyerang lain – dua kali bersama pemain baharu Terengganu FC, Adisak Kraisorn dan sekali bersama pemain meningkat naik, Ekanit Panya.
Mengapa Ekanit Panya Lebih Bersedia Ke Peringkat Senior Berbanding Luqman Hakim
Mengikut minit permainan, penyerang BG Pathum United itu telah bermain 209 daripada 270 minit permainan sepatutnya – hampir 77 peratus aksi.
Adakah beliau akan terus diberikan tanggungjawab membawa skuad Gajah Perang di Piala AFF kali ini? Berdasarkan statistik ini, beliaulah orangnya.
Dengan ketiadaan beberapa tonggak utama, Thailand pasti menaruh harapan terhadapnya dalam memimpin jentera depan. Bergandingan sama ada bersama Adisak mahupun Ekanit, beliau adalah tunjang utama pasukan sama ada petang ini mahupun di peringkat separuh akhir nanti.
Malah, beliau ketika ini adalah penjaring terbanyak kejohanan sehingga kini iaitu 22 gol – masih boleh bertambah, lima gol di depan bekas penyerang Singapura, Noh Alam Shah. Ketajamannya di depan gol usah dipersoal.
Teerasil Dangda jadi ancaman utama Thailand 🇹🇭ke gawang Indonesia 🇮🇩sore ini. Dangda merupakan top skor sepanjang masa Piala AFF dan di edisi 2022 ini dia udah bikin 3 gol.
Lini belakang Indonesia 🇮🇩 harus bekerja ekstra keras sore ini 💪💪💪 pic.twitter.com/53AdN4LzGi
— Jebreeetmedia (@jebreeetmedia) December 29, 2022
Berbanding Adisak, Teerasil dilihat lebih menyerlah dalam membantu menggerakkan jentera serangan apabila telah membuat 48 ‘successful passes’ berbanding Adisak hanya 21. Untuk percubaan tepat, kedua-duanya merekodkan jumlah yang sama iaitu lima percubaan – Adisak hanya bermain 126 minit.
Dengan gabungan sentuhan tajam dan hantaran berkualiti, Teerasil adalah aset penting Polking. Beliau memiliki peratus hantaran tepat yang tinggi di kawasan lawan iaitu 81.5 peratus, berbanding Adisak, 65.5 peratus. Disebabkan itu, beliau masih menjadi taruhan sebagai penyerang.
Adisak lebih kepada penyerang sejati, sementara Teerasil walaupun sudah berusia, beliau menjadi penghubung penting jentera tengah dan serangan.
Walaupun Ekanit digunakan sebagai penyerang ketika berdepan Indonesia, beliau sebenarnya lebih kepada pemain sayap menyerang dan beraksi dua kali sebagai pemain sayap menyerang ketika berdepan Brunei dan Filipina.
Walaupun bukan skuad terkuat, Thailand masih mampu mempamerkan kualiti mereka dan ia sedikit sebanyak hasil sumbangan ‘kuda tua’, Teerasil.