Selepas terpalit dengan isu status stadium sebelum ini, Indonesia boleh menarik nafas lega apabila kini mereka dibenarkan untuk menggunakan Gelora Bung Karno (GBK).
Menjelang aksi peringkat kumpulan Piala AFF 2022 yang akan bermula tidak lama lagi, Indonesia kini dibenarkan untuk menggunakan stadium keramat mereka itu bagi dua perlawanan penting menentang Kemboja dan Thailand.
Menurut Tribun Tangerang, berita penggunaan stadium GBK ini disambut baik oleh delegasi Indonesia selepas AFF sendiri membantu negara itu untuk bercakap dengan FIFA berkenaan isu stadium terbabit.
Bagi Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Zainudin Amali, keputusan ini disambut baik susulan tragedi Kanjuruhan.
Kini apa yang menjadi halangan adalah kemasukan ribuan penyokong Indonesia ke dalam stadium yang masih menjadi tanda tanya.
Hal ini disebabkan larangan kerana tragedi tempoh hari dengan setiap perlawanan terpaksa diadakan tanpa kehadiran penyokong.
Akan tetapi, Zainudin tetap optimis kehadiran penyokong dapat meningkatkan prestasi skuad Garuda apabila mereka berada bersama-sama mereka di stadium.
“Kami ada usahakan [kebenaran penyokong ke stadium] kerana ianya adalah hajat satu negara. Saya tiada halangan mengenai perkara ini, kalau ada atau tidak, saya okay saja.
“Saya berusaha agar penyokong boleh masuk ke stadium supaya pasukan boleh bermain dengan baik. Kami berusaha tetapi penilaian akhir tetap ditentukan oleh pihak polis,” kata Zainudin.
Buat masa sekarang, Indonesia sedang menjalani kem latihan pusat di Bali sebelum berdepan dengan lawan-lawan mereka dalam kumpulan A.
Indonesia diundi bersama-sama Filipina, Brunei Darussalam, Kemboja dan Thailand dalam misi mencari kejuaraan Asia Tenggara yang pertama.