Saingan Piala AFF 2022 dilihat semakin hampir membuka tirai perlawanan dengan setiap pasukan yang bertanding semakin giat membuat persiapan masing-masing.
Indonesia antara pasukan yang kini sibuk mempersiapkan diri mereka menerusi kem latihan pusat yang sudah pun diadakan sejak sekian lama dalam misi untuk mencapai keserasian antara pemain.
Matangkan persiapan! 🔥#KitaGaruda pic.twitter.com/YjSSzRuDZ8
— PSSI (@PSSI) December 13, 2022
Tampil dengan prestasi yang agak cemerlang ketika ini bawah kendalian Shin Tae-yong, pasukan tersebut dilihat sebagai salah satu pilihan utama untuk menjuarai Piala AFF kali ini.
Malah, dengan beberapa pasukan seperti Malaysia dan Thailand yang dilihat tidak dapat membawa skuad terbaik mereka juga dianggap memberi ruang buat Indonesia untuk menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin.
Perkara ini diakui sendiri oleh bekas penyerang Indonesia iaitu Andik Vermansyah yang melihat situasi semasa dialami oleh kedua negara itu membuka ruang buat Indonesia untuk pertama kali menjulang kejuaraan tersebut.
“Perasaan saya, selepas negara-negara lain yang dilihat kurang bersedia, ianya seperti memberi ruang untuk Indonesia muncul juara. Maksud saya peluang itu dilihat lebih besar.
“Bukan kita nak memandang rendah kepada mereka. Misalnya Malaysia ada banyak pemain yang tidak menyertai kem kebangsaan, serta Thailand yang tidak memanggil beberapa tonggak mereka,” jelas Andik menerusi Bola.com.
Situasi skuad kebangsaan Malaysia sebelum ini agak panas selepas beberapa pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat telah menolak panggilan negara dengan alasan tersendiri
Perkara tersebut jelas mengejutkan pengendali skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon, selepas beliau menganggap ia pertama kali berlaku sepanjang karier sebagai jurulatih.
Antara tonggak-tonggak yang tidak menyertai panggilan negara ialah Azam Azih, Arif Aiman Hanapi, Corbin-Ong, dan beberapa lagi pemain lain.
Walaupun begitu, nama-nama baharu yang pertama kali menyertai skuad kebangsaan juga setakat ini telah memberi isyarat positif, selepas Malaysia berjaya menewaskan Kemboja dalam aksi persahabatan beberapa hari lalu.
Pemain seperti Shamie Iszuan, Lee Tuck, David Rowley, dan Stuart Wilkins antara yang berjaya memberi gambaran terbaik buat para penyokong negara dan dilihat bersedia untuk mengharungi saingan Piala AFF tersebut.
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 | Jumaat, 9 Disember 2022
MALAYSIA 🇲🇾 4-0 🇰🇭 KEMBOJA
⚽️ Faisal Halim 11' 45'+1 Lee Tuck 38' Stuart Wilkin 86'#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/o2Jw2xuSa2
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 9, 2022
Pada aksi persahabatan tersebut, Malaysia berjaya mencatat kemenangan besar 4-0 dan salah seorang pemain naturalisasi baharu negara iaitu Lee Tuck berjaya mempamerkan aksi cukup memberansangkan.