Iktibar Yang Boleh Dipelajari Daripada Polisi Naturalisasi Maghribi

Maghribi naturalisasi Walid Regrarui

Terdapat 14 pemain naturalisasi dalam skuad Maghribi di Piala Dunia 2022, iaitu kira-kira 54 peratus keseluruhan kekuatan skuad mereka kali ini.

Ketika sidang media selepas mengejutkan Sepanyol di pusingan 16 terbaik, Walid Regrarui telah meluahkan isi hatinya. “Inilah punca saya berjuang.

Sebelum melangkah ke Piala Dunia, kami menghadapi masalah tentang pemain yang lahir di Eropah. Wartawan juga sering persoalkan kenapa kita tidak hanya guna pemain yang lahir di Maghribi. Hari ini kita telah tunjukkan yang mereka juga warganegara Maghribi sepertimana yang lain,” ujarnya.

Apabila mereka datang ke skuad kebangsaan, datang bersama pasport, jelas mereka mahu mati dan berjuang untuk negara. Sebagai jurulatih, saya sendiri lahir di Perancis, tetapi tiada siapa mampu mengubah hati saya untuk negara saya [Maghribi],” jelasnya lanjut mengenai cabaran yang telah dilaluinya.

Skuad senior membawa ke skuad muda

Lebih separuh kekuatan mereka adalah daripada pemain yang memiliki dwi kerakyataan. Dan skuad muda mereka juga melalui perkara yang sama.

Maghribi AFCON B-17 2021
Skuad Maghribi untuk AFCON B-17 2021

Pada 2021, pendaftaran pemain untuk African Cup of Nations (AFCON) B-17 tahun, Maghribi telah mendaftarkan 24 pemain yang bermain untuk akademi di Eropah. Kebanyakan mereka merupakan pemain yang ada dwi kerakyatan, berdarah kacukan Maghribi dengan negara-negara Eropah lain.

Mungkin atas sebab itu, pihak media sedikit kritis dalam persoalan tentang nasib pemain-pemain di liga domestik. Dan ini yang menjentik hati nurani pengendali, Walid Walid Regrarui yang juga memiliki dwi kerakyatan.

Kehadirannya seperti kurang dialu-alukan disebabkan mereka merasakan beliau dilantik atas sebab ‘sehaluan’ dengan Presiden Royal Moroccan Football Federation (RMFF) berbanding bekas pengendali, Vahid Halilhodzic yang dipecat akibat berselisih faham tentang hala tuju skuad kebangsaan.

Namun, apa yang dipamerkan ‘The Atlas Lions’ di kempen Piala Dunia kali ini pastinya akan menutup terus mulut ‘tanpa insurans’ para pengkritik.

Mereka kini di separuh akhir piala berprestij itu dan sudah menewaskan beberapa pasukan ternama seperti Belgium, Sepanyol dan Portugal.

Apa lagi yang boleh dikritik? Ini sejarah buat negara mereka dan juga merupakan sejarah buat wakil Afrika di kejohanan terbesar di dunia itu.

Malaysia kini juga ada pemain naturalisasi

Melihat apa yang dilalui oleh Maghribi membawa kita kepada situasi yang sama sedang dilalui Harimau Malaya yang dibarisi pemain naturalisasi.

Satu ketika dahulu, kita tidak mahu menggunakan formula ini, malah penyokong juga dilihat ‘keras’ menentang terutamanya Ultras Malaya.

Ini berpunca daripada kegagalan program naturalisasi yang digerakkan oleh Indonesia dan Singapura. Ia tidak beri impak seperti yang diharapkan.

Sama halnya dengan situasi di Maghribi, ia lebih kepada memikirkan nasib pemain-pemain tempatan yang beraksi di liga domestik pada ketika ini.

Dan, kita melihat sendiri di depan mata, impak yang dibawa Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi yang seakan-akan tiada kesan dan hasil. Kedua-dua pemain menjadi bahan cacian dan ‘troll’ para penyokong yang berang dengan tahap yang telah dibawa mereka berdua ke dalam Harimau Malaya.

Disebalik itu, terdapat pemain yang memberi impak iaitu yang memiliki dwi kerakyatan seperti Matt Davies, Dion Cools, Corbin Ong dan Brendan Gan.

De Paula dan Liridon adalah antara pemain naturalisasi yang memenuhi kriteria menetap di Malaysia selama lima tahun dan diberikan kerakyatan.

Adakah Brendan Gan, Dion Cools naturalisasi?

Begitupun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memulakan semula inisiatif untuk mencari pemain-pemain yang digelar ‘pemain warisan’ – yang ada pertalian darah dengan Malaysia, membawa maksud sama dengan pemain kacukan dan pemain naturalisasi jika dalam konteks Statut FIFA.

Apa yang pembaca faham mengenai naturalisasi? Tidak kira pemain itu berdarah kacukan atau tinggal di Malaysia lebih lima tahun, kedua-duanya perlu melalui proses naturalisasi. Jadi, tiada perbezaan ketara antara Brendan dan Liridon sebagai contohnya. Cuma yang berbeza adalah Brendan ada pertalian darah dengan Malaysia, sementara Liridon tidak.

Bersandarkan Statut FIFA di bawah Perkara 7, Peraturan Kelayakan, ada empat syarat utama yang perlu dipenuhi bagi membolehkan seseorang pemain bola sepak yang mahu mewakili skuad kebangsaan iaitu;

  • Dilahirkan dalam kawasan di bawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan.
  • Ibu atau bapa kandung pemain itu dilahirkan dalam kawasan di bawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan.
  • Nenek atau datuk pemain itu dilahirkan dalam kawasan di bawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan.
  • Pemain tersebut telah tinggal selama 5 tahun berturut-turut dalam kawasan di bawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan selepas berumur 18 tahun.

Oleh itu, melihat barisan pemain Harimau Malaya dalam panggilan terkini untuk saingan Piala AFF 2022, kita memiliki kedua-dua kategori tersebut.

Lee Tuck adalah naturalisasi dalam kategori tinggal di Malaysia selama lima tahun, sementara Stuart Wilkin pula naturalisasi sebab berdarah kacukan.

Lee Tuck Tunjuk Kepada Liridon & De Paula, Bagaimana Untuk Main Malaysia

Teladan yang boleh dipelajari daripada Maghribi

Apa yang pemain-pemain naturalisasi boleh belajar daripada kisah magis Maghribi dan kenyataan pengendalinya di sidang media tempohari?

Apabila mereka datang ke skuad kebangsaan, datang bersama pasport, jelas mereka mahu mati dan berjuang untuk negara,” tegas Walid Regrarui.

Dan kita juga boleh menilai berdasarkan apa yang diberikan mereka ketika beraksi di tengah padang, walaupun ia mungkin hanya andaian kita sahaja.

Seperti kes Lee Tuck yang sejak dahulu mengatakan yang beliau mahu menyarung jersi skuad kebangsaan. Dan, kita boleh lihat apa yang telah diperjuangkannya di tengah padang sehingga berhasil meledak gol dalam debutnya ketika Malaysia membenam Kemboja 4-0. Apa impak yang De Paula mahupun Liridon telah beri yang meninggalkan kesan kepada kita?

Bukanlah mempersoalkan patrotisme mereka, mungkin mereka gagal memenuhi permintaan taktikal jurulatih. Tetapi, ia tetap dianggap gagal.

Bagaimana kita melihat kesan yang pemain-pemain naturalisasi Maghribi berikan sehingga mereka telah berjaya melangkaui jangkaan banyak pihak?

Mara ke separuh akhir dengan permainan yang berkesan, malah pemain memberikan sepenuh jiwa raga adalah antara elemen yang diterapkan.

Pertalian darah atau sebab menentap di Malaysia?

Bagi pemain yang memiliki dwi kerakyatan, mereka memiliki semangat yang berkobar untuk mewakili negara disebabkan ada pertalian darah. Ini adalah antara faktor mengapa Maghribi dilihat ampuh walaupun dibarisi ramai pemain naturalisasi. Pertalian darah sama ada menerusi ibu bapa atau datuk nenek adalah pendorong mereka masih ada semangat Maghribi.

Begitu juga halnya dengan di Malaysia, tiada masalah untuk pemain yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia. Apa yang kita dapat daripada mereka setakat ini boleh dikatakan sangat baik dan membanggakan.

Berbanding naturalisasi atas sebab menetap di Malaysia selama lima tahun, mungkin ada perkara yang perlu dilihat semula oleh jurulatih bagi memupuk semangat patrotisme mereka. Tidak semua berjaya melonjakkan pasukan.

Kita boleh lihat cadangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP, Safirul Abu Bakar mengenai bagaimana untuk memiliki pemain naturalisasi yang berkualiti dan berjiwa Malaysia. Menurutnya, pemain import yang mahu dinaturalisasi perlulah bermula di Liga M sejak berusia 20 tahun.

Mungkin semangat cintakan negara akan lebih menebal jika ia bermula dari awal dan sudah maklum yang mereka akan dijadikan pemain Malaysia di masa akan datang. Mereka jelas visi dan misi mereka untuk bermain di Liga M. Berbanding yang sudah berusia, mungkin ia hanya memberi faedah dari segi pendaftaran pemain – boleh didaftar sebagai pemain tempatan.

Polisi Maghribi mengenai naturalisasi

Negara kita seperti Maghribi, populasi tidak jauh berbeza. Jika populasi Maghribi adalah 37.34 juta, kita pula berpopulasi 32.78 juta penduduk.

Berbanding Maghribi yang memiliki lebih 5 juta penduduknya yang berhijrah keluar terutamanya ke Eropah, Malaysia pula merekodkan hampir 2 juta yang berhijrah sehingga ada yang menjadi populasi terbesar di tempat itu iaitu di satu kepulauan hampir dengan Australia, Christmas Island.

Selain itu, rakyat Malaysia juga didapati banyak yang telah berhijrah ke tiga buah negara ini iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

Memburu pemain berdarah kacukan Maghribi di Eropah kini lebih tersusun berbanding ketika pemain kacukan pertama Maghribi beraksi di Piala Dunia 1998. Mereka kini memiliki pemantau bakat di seluruh Eropah antaranya Noureddine Moukrim, jurulatih muda di Belgium yang telah membantu memantau bakat-bakat mereka di sana selama lebih sembilan tahun.

Para pemain itu didekati lebih awal untuk menarik minat mereka ke pasukan Maghribi. Kami tidak pernah memaksa, ia adalah perbincangan yang jujur ​​dengan pemain dan keluarganya,” jelas Moukrim mengenai pekerjaannya.

Dan pada ketika ini, terdapat empat pemain mereka yang dilahirkan di Belgium dalam skuad kali ini antaranya Ilias Chair dan Selim Amallah.

Ini bermakna, Moukrim akan memantau perkembangan setiap pemain yang berpotensi bermain dengan Maghribi dan akan didekatinya sejak awal.

Jelas, mereka lebih berminat memburu menaturalisasi pemain-pemain berdarah kacukan berbanding pemain luar yang menetap lama di Maghribi.

Malaysia guna pakai kedua-dua jenis naturalisasi

Memburu pemain yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia sudah berjalan dan kita sudah memiliki ramai yang mahu mewakili negara. Disamping itu, FAM turut tidak menutup pintu buat pemain-pemain yang telah menetap lima tahun lebih di Malaysia untuk bersama Harimau Malaya.

Namun, kita tidak berapa jelas sistem yang diguna pakai oleh FAM dalam memantau bakat-bakat sebagai contoh Wan Kuzain Wan Kamal. Namun, berdasarkan kenyataan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin, untuk kes Dion Cools, mereka telah mengikutinya sejak dua tahun sebelum pemain kacukan Malaysia-Belgium itu bersetuju menyarung jersi Malaysia.

Mungkin jiwa, semangat, perjuangan dan patrotisme mereka boleh dikatakan lebih baik untuk menjulang nama Malaysia seperti mana yang Maghribi telah tonjolkan. Begitupun, jika pemain seperti De Paula, Liridon, Mohamadou Sumareh dan Lee Tuck juga mampu menunjukkan kecintaan yang sama, tiada masalah untuk mereka terus dipanggil selepas ini.

Namun, projek naturalisasi sebegini hanya sesuai untuk jangka pendek.

Kali terakhir kita berentap dengan Maghribi adalah pada tahun 2005 dan merekodkan keputusan seri tanpa jaringan. Malah, kita pernah menewaskan mereka di Pestabola Merdeka pada edisi 1980 dengan keputusan 2-0. Dalam tempoh yang singkat, mereka berjaya membina skuad yang mampu bersaing di Piala Dunia, malah kali ini mara sejauh ke pentas separuh akhir.

Menariknya, dua tahun selepas kali terakhir Malaysia bertembung dengan Maghribi, mereka membina sebuah akademi elit yang dinamakan Akademi Bola Sepak Mohammed IV bagi program pembangunan bola sepak yang turut melahirkan tiga pemain yang beraksi di Piala Dunia kali ini iaitu En-Nasyri, Azzedine Ounahi dan Nayef Aguerd, yang berkelana ke luar negara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN