Bila berbicara tentang bola sepak ianya penuh dengan keajaiban dan tidak pernah untuk dijangka penamatnya oleh segenap pihak selagi wisel terakhir belum dibunyikan.
Siap sangka, pasukan yang dianggap bukan pilihan seperti Maghribi berjaya melakar kejutan pada saingan Piala Dunia 2022 di Qatar untuk mara ke pusingan separuh akhir.
Jaringan tunggal daripada Youssef En-Nesyri sudah cukup untuk membawa Maghribi mencipta sejarah tersendiri dengan mengetepikan salah satu pasukan pilihan iaitu Portugal.
Ledakan gol itu juga dianggap antara paling cantik pernah terhasil dalam saingan Piala Dunia kali ini, selepas penyerang Sevilla tersebut melompat tinggi untuk menewaskan penjaga gol lawan.
En-Nesyri sebenarnya bukan seorang pemain yang konsisten bersama kelabnya iaitu Sevilla dalam persaingan La Liga ketika ini.
Beliau hanya meledak dua gol sahaja musim ini iaitu ketika Sevilla bersaing dalam kejohanan UEFA Champions League (UCL), dan jaringan tersebut dilakar ketika mereka menentang Borussia Dortmund dan FC Copenhagen.
Sesuatu yang unik mengenai Maghribi untuk saingan kali ini, mereka hanya dibolosi satu jaringan sahaja iaitu ketika menentang Kanada di peringkat kumpulan.
Siapa sangka pasukan-pasukan pilihan seperti Croatia, Belgium, Sepanyol, dan Portugal gagal untuk merobek walau satu jaringan ketika menentang Maghribi.
Sejarah bola sepak Piala Dunia menyaksikan belum pernah ada mana-mana pasukan dari Benua Afrika yang melayakkan diri ke pusingan separuh akhir kejohanan tersebut.
Tiga pasukan dari benua tersebut yang hampir memecahkan rekod ke pusingan sebelum ini ialah Cameroon (1990), Senegal (2002), dan Ghana (2010).
Namun, ketiga pasukan tersebut sekadar terkandas di pusingan suku akhir dan rekod itu akhirnya berjaya dipecahkan oleh Maghribi pada saingan Piala Dunia kali ini.
Sepanjang saingan berlangsung, jelas Portugal lebih banyak mendominasi permainan menerusi beberapa percubaan dicipta kearah gawang lawan.
Kecemerlangan pertahanan Maghribi jelas memberi banyak masalah buat lawan untuk cuba mengatasinya biarpun ada beberapa pertukaran telah dibuat.
Lebih malang, Portugal gagal untuk mengambil kesempatan, selepas Maghribi hanya beraksi dengan 10 pemain sahaja pada penghujung perlawanan untuk cuba mengimbanginya kembali sehingga wisel penamat dibunyikan.
Aksi selepas ini menyaksikan Maghribi bakal bertemu Perancis untuk membuat perhitungan seterusnya dalam saingan separuh akhir dan mereka mungkin berpeluang untuk terus melakar sejarah baharu.
Cerita impian dalam bola sepak tidak akan pernah padam jika semuanya bersatu hati untuk terus menggapainya serta mencipta rekod yang indah buat para penyokong.
Maghribi sudah pun membuktikannya walaupun tidak dibarisi ramai nama-nama besar, mereka masih mampu untuk menewaskan negara pilihan untuk melangkah ke separuh akhir.