Bintang sensasi Korea Selatan, Son Heung-min mengakui ia adalah enam (6) minit yang panjang perlu dilalui dalam hidupnya sebelum mengesahkan kemaraan Korea Selatan ke pusingan 16 terbaik, Piala Dunia 2022.
Malah, sebelum perlawanan berlangsung beliau turut membuat ramalan tentang rakannya yang bakal menjadi wira buat ‘Taegeuk Warriors’.
Korea Selatan berhasil menewaskan Portugal 2-1 dalam aksi ketiga dan terakhir Kumpulan H untuk menduduki tangga kedua dengan empat mata, berkongsi mata dengan Uruguay yang turut menang 2-0 ke atas Ghana.
Namun, kemenangan Uruguay itu tidak cukup untuk membawa mereka mara ke pusingan 16 terbaik apabila Korea Selatan memiliki kelebihan dari segi jaringan gol – empat gol berbanding Uruguay yang meledak dua gol.
Group H, you were a fun one! #FIFAWorldCup | #Qatar2022
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) December 2, 2022
Begitupun, Son Heung-min dan rakannya perlu menanti enam (6) minit selepas perlawanan mereka berakhir bagi memastikan kemaraan mereka.
Jika Uruguay berjaya mencipta satu lagi gol ke atas Ghana, Korea Selatan akan turun satu anak tangga ke kedudukan ketiga berdasarkan kelebihan perbezaan gol yang dimiliki ‘La Celeste’. “Ia adalah enam minit yang panjang dalam hidup saya,” ungkap Son kepada pihak media selepas perlawanan.
“Tetapi kami semua yakin kami akan berjaya,” tegasnya yang akan beraksi di pusingan 16 terbaik Piala Dunia pertama dalam karier bola sepaknya.
Barisan kejurulatihan, Son Heung-min dan pemain-pemain Korea Selatan terpaksa mengikuti rapat perlawanan antara Uruguay dan Ghana di Stadium Al-Janoub bagi memastikan pengesahan ‘tiket’ kemaraan mereka.
🎙️ Son Heung-min: "I had the longest 6 minutes of my life waiting for the Uruguay game to end."#KOR | #FIFAWorldCup pic.twitter.com/L7q6nz8JaJ
— Football Tweet ⚽ (@Football__Tweet) December 2, 2022
“Saya katakan [kepada rakan-rakan], jika Uruguay berjaya menambah satu lagi gol, saya amat berbangga dengan pasukan ini dan kita telah melakukan sehabis baik untuk layak. Kita akan tunggu apa yang bakal berlaku dan kami hanya menanti. Namun, ia penantian yang sangat lama,” cerita Son lagi.
Apabila wisel penamat ditiupkan di satu lagi stadium, keraian dikesan di Stadium Education City apabila Korea Selatan meraikan kejayaan mereka. Uruguay gagal menambah jaringan dan hanya menang 2-0 ke atas Ghana yang dikhabarkan sangat ‘berpuas hati’ dapat pulang bersama Uruguay.
Satu perkara yang menarik lagi adalah, Hwang Hee-chan berkata Son meramalkan beliau akan menjadi wira untuk perlawanan malam tersebut.
Umpama ‘bomoh’, Son turut membantu rakannya itu untuk meledak gol kemenangan ke atas Portugal – yang turut mara ke pusingan seterusnya.
“Sebelum perlawanan, Son katakan yang saya akan mencipta sesuatu yang istimewa hari ini. Dia kata, ‘kami percaya kepada kamu’. Dan bila Son memiliki bola, saya yakin, dia akan menghantarnya kepada saya. Ia satu hantaran yang menakjubkan dan ia memudahkan kerja saya,” ujar Hwang tentangnya.
Hwang yang dimasukkan pada minit ke-66 muncul wira dengan jaringan kemenangan bagi mengikat kedudukan dengan Uruguay. Dan tugas mereka selepas itu hanya menanti penuh sabar keputusan satu lagi perlawanan.
Korea Selatan akan bertemu Brazil di pusingan 16 terbaik pada Selasa.