Menerusi rombakan yang kembali dibuat oleh Penang ketika ini untuk memperkuatkan pasukan, beberapa pemain tempatan dan import sah tidak akan disambung kontrak musim hadapan.
Penang yang menduduki carta terakhir Liga Super musim ini jelas tampil dengan prestasi yang sangat mengecewakan para penyokong, terutama sekali mengenai konsistensi permainan mereka.
Daripada 22 perlawanan dilalui, pasukan tersebut cuma mampu meraih dua kemenangan sahaja dan mereka sendiri seolah hilang arah untuk mencipta kebangkitan.
Walaupun ada perubahan awal dibuat pada pertengahan musim seperti peralihan tenaga jurulatih serta kemasukan pemain baharu, pasukan tersebut kekal gagal mencipta sebarang keputusan lebih baik.
Sebagai persiapan awal menjelang musim hadapan, Penang kini sah tidak akan menyambung baki kontrak empat pemain import mereka tahun ini dengan ianya sudah pun disahkan menerusi media rasmi pasukan tersebut.
Empat pemain tersebut yang telah pun diumumkan semalam ialah Anselmo Arruda da Silva (Cassagrande), Christian Mangaron Rontini, Lucas Espindola da Silva, serta Endrick dos Santos.
Sebelum itu, Penang terlebih dahulu sah kehilangan tonggak serangan mereka dari Lubnan iaitu Hilal El-Helwe, selepas kedua pihak setuju untuk menamatkan kontrak dengan lebih awal.
Hanya seorang lagi pemain import yang menjadi tanda tanya mengenai masa depan beliau bersama Penang musim hadapan iaitu Rafael Vitor.
Berdasarkan situasi semasa, ada kemungkinan Rafael berkemungkinan besar akan dikekalkan oleh pihak pengurusan Penang untuk terus memperkukuhkan pertahanan kelab musim hadapan.
Perkara itu turut dikukuhkan lagi selepas wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi yang menyatakan pertahanan berfizikal tegap itu menjadi satu-satunya pemain import Penang dikekalkan musim hadapan.
LIGA M 2023 | Transfer News
Tonggak pertahanan kelahiran Brazil, Rafael Vitor dijangka muncul satu-satunya pemain import yang kekal bersama Penang FC musim depan.
Untuk rekod, Vitor sudah bersama Harimau Kumbang sejak musim 2020.
— Fadhirul Shuhaimi (@FadhirulS) December 2, 2022
“Tonggak pertahanan kelahiran Brazil, Rafael Vitor dijangka muncul satu-satunya pemain import yang kekal bersama Penang FC musim depan. Untuk rekod, Vitor sudah bersama Harimau Kumbang sejak musim 2020,” jelas beliau.
30' GOL | Rafael Vitor menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pembukaan di Stadium Bandaraya.@Penang_FC 1-0 @selangorfc #LigaSuper2022 pic.twitter.com/Made9iNsDe
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 15, 2022
Rafael memulakan karier beliau bersama salah satu kelab gergasi di Brazil iaitu Atletico Mineiro sebelum berhijrah ke beberapa pasukan di negara tersebut.
Penang menjadi satu-satunya kelab diwakili beliau di Asia Tenggara selepas pemain tersebut menyertai pasukan berkenaan pada tahun 2020 dan kekal sehingga kini.