Prestasi Lionel Messi setakat ini dalam aksi Piala Dunia 2022 di Qatar berada dalam keadaan yang sangat baik untuk menjadi salah satu tunjang utama kekuatan Argentina.
Kemuncak prestasi beliau ketika ini diteruskan pada aksi pagi tadi, selepas beliau tampil untuk meledak gol pembukaan buat Argentina ketika berdepan Australia.
Tiga jaringan daripada empat perlawanan dihasilkan bintang ini dalam saingan Piala Dunia menyaksikan Messi masih lagi berada dalam kelas tersendiri dan tidak dibayangi mana-mana pemain lain dalam skuad kebangsaan.
Malah, saingan kali ini juga menyaksikan ia antara persembahan terbaik pernah dipamerkan oleh tonggak utama Paris Saint-Germain itu seolah Messi tidak pernah dibayangi peningkatan usia.
Dalam aksi tersebut, ada beberapa gerakan individu yang dicipta Messi jelas memberi banyak masalah buat pemain lawan untuk menghentikannya.
Kualiti dan kreativiti hantaran Messi juga jelas memberi banyak kekeliruan buat Australia untuk menanganinya terutama umpanan-umpanan di hadapan gol.
Persembahan berkualiti tinggi dipamerkan Messi semalam turut mencuri tumpuan beberapa pemerhati bola sepak untuk memberi pendapat mereka.
Menurut laporan daripada laman sukan Sport Bible, bekas pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand menganggap Messi telah mempamerkan satu aksi individu terbaik yang pernah dilihat sepanjang saingan Piala Dunia kali ini.
Manakala Alan Shearer pula menyifatkan beliau antara individu yang sangat bertuah apabila berada di stadium semalam untuk menyaksikan persembahan berkualiti daripada Messi dan rakan sepasukan.
”Kami sangat beruntung kerana dapat menyaksikan persembahan beliau dari dalam stadium. Jelas aksi yang sangat berkualiti ditampilkan beliau,” ulas Shearer.
Pada perlawanan semalam, Argentina berjaya menewaskan Australia dalam pusingan 16 terbaik untuk mara ke peringkat suku akhir selepas 90 minit menghadapi saat yang agak menggetirkan.
Tampil Lionel Messi dan Julian Alvarez untuk masing-masing meledak satu gol buat Argentina, manakala Australia hanya memperoleh satu jaringan menerusi kesilapan pemain tengah lawan iaitu Enzo Fernandez yang tidak sengaja meledak gol sendiri di separuh masa kedua.
Walaupun ada siri kebangkitan cuba dilakar oleh Australia menerusi peluang-peluang menarik dicipta, pasukan tersebut gagal untuk mendapatkan sebarang gol lagi sehingga wisel penamat dibunyikan.