Qatar 2022: Sejarah Perang Kosovo Yang Menghangatkan Pertembungan Switzerland – Serbia

Perang Kosovo Switzerland Serbia

Perlawanan kumpulan G saingan Piala Dunia 2022 di antara Switzerland dan Serbia pada Jumaat akan menentukan pasukan yang layak ke pusingan 16 terakhir.

Switzerland kini dengan tiga mata perlu mendapatkan kemenangan agar lebih terjamin kerana keputusan seri masih berisiko sekiranya Cameroon berhasil membuat kejutan ke atas pendahulu kumpulan Brazil.

Begitu juga dengan Serbia yang tetap berpeluang jika meraih kemenangan

Ia merupakan ulangan kepada pertembungan dalam kejohanan sama empat tahun lalu yang telah mencetuskan ketegangan politik di antara kedua-dua pasukan.

Semasa Piala Dunia 2018 lalu ketika kedua-duanya bertemu buat kali pertama, masih segar dalam ingatan peminat bola sepak di seluruh dunia apabila disajikan dengan nada ‘politik’ yang berat oleh dua pemain Switzerland.

Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri yang menjaringkan gol dalam aksi yang menyaksikan Switzerland menang 2-1 telah melakukan keraian dengan membuat gaya tangan ikonok berbentuk helang berkepala dua iaitu simbol bagi nasionalis Albania yang boleh dilihat pada bendera negara tersebut.

Serbia kemudian telah mendesak FIFA untuk mengambil tindakan ke atas kedua-dua pemain tersebut kerana dianggap tidak mempamerkan semangat kesukanan.

Xhaka merupakan pemain kelahiran Basel, tetapi keluarganya merupakan etnik Albania dari Kosovo. Manakala Shaqiri pula dilahirkan di Kosovo sebelum keluarganya berhijrah ke Switzerland ketika beliau masih bayi.

Kosovo mendakwa mereka sebuah negara berdaulat setelah mengisytiharkan kemerdekaan dari Serbia pada 2008.

Tetapi tempoh hari semasa aksi menentang Brazil, skuad Serbia telah bertindak mencetus provokasi dengan menggantung bendera negara di bilik persalinan yang memaparkan wilayah Kosovo sebahagian daripada negara itu.

FIFA dilaporkan telah memulakan siasatan ket atas persatuan bola sepak (FA) Serbia kerana FA Kosovo secara rasmi telah pun menjadi anggota Persekutuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan FIFA pada 2016.

Sejarah panjang Perang Kosovo

Konflik di antara dua pihak ini telah berlaturan lebih 20 tahun yang lalu apabila tercetusnya Perang Kosovo yang bermula pada 28 Februari 1998 dan berlanjutan sehingga 11 Jun 1999.

Berlaku pertempuran di antara tentera Persekutuan Republik Yugoslavia (Serbia dan Montenegro) yang menguasai Kosovo dengan penentang bersenjata Albania Kosovo yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Kosovo (Kosovo Liberation Army – KLA).

KLA telah pun ditubuhkan pada awal 90-an untuk menentang penganiayaan puak Serb terhadap etnik Kosovo Albania. Kempen penentangan dimulakan pada 1995 apabila melancarkan serangan ke atas pemerintah Yugoslavia di Kosovo.

Pada Jun 1996, KLA mengaku bertanggungjawab ke atas tindakan sabotaj dan serangan yang menyasarkan balai polis dan peristiwa tersebut dikenang sebagai Pemberontakan Kosovo.

Tahun yang seterusnya, kumpulan penentang KLA telah mendapat sokongan dari Albania dalam pelbagai bentuk bantuan termasuk persenjataan. Sumber-sumber senjata api juga berjaya diperolehi dengan melakukan serangan ke atas pos-pos polis dan tentera.

Kemuncaknya adalah pada tahun 1998 apabila serangan KLA telah menyasarkan pihak autoriti atau pemerintah Yugoslavia di Kosovo yang mendorong peningkatan kehadiran tentera Serbia ke wilayah tersebut.

Serangan balas Yugoslavia telah membuatkan kira-kira 2,000 orang anggota kombat KLA terkorban dan menghalau lebih 370,000 orang Kosovo Albania. Pembantaian tentera Serbia ke atas penduduk di Kosovo dilaporkan telah mengorbankan lebih 13,500 orang.

Ia akhirnya mengundang campur tangan dari Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang memulakan pengeboman udara bermula 24 Mac 1999 yang berakhir dengan Perjanjian Kumanovo yang ditandatangani pda 9 Jun.

Tentera Yugoslavia bersetuju untuk berundur dari Kosovo dan KLA juga telah dibubarkan.

Mahkamah Agung yang dipimpin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati berlaku pembersihan etnik yang ‘sistematik’ oleh pemerintah Yugoslavia termasuk pembunuhan, rogol, pembakaran dan penganiayaan berat ke atas warga Kosovo.

Secara kesuluruhan, peperangan tersebut telah menyebabkan lebih 1.4 juta warga Kosovo Albania berhijrah melarikan diri dari Kosovo.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN