Tuah nampaknya menjadi milik Sabah apabila menjadi pasukan kedua meraih tiket ke Piala AFC 2023 selepas keputusan final TM Piala Malaysia menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Selangor 2-1.
Mengikut format yang ditetapkan oleh Malaysian Football League (MFL), slot kedua akan diberikan kepada juara Piala Malaysia bagi musim 2022, namun ia diberikan Sabah setelah kejohanan tersebut dimenangi oleh JDT yang turut menjulang Liga Super dan Piala FA.
Terdapat tiga kaedah iaitu yang pertama, juara Liga Super akan diberikan tiket ke Liga Juara-Juara AFC (ACL), manakala juara Piala FA dan tempat kedua Liga Super akan beraksi di Piala AFC.
Pilihan kedua pula menyatakan, jika juara Liga Super dan juara Piala FA adalah pasukan yang sama, maka satu slot ke Piala AFC akan diberikan kepada juara Piala Malaysia musim ini bersama naib juara Liga Super.
Manakala pilihan ketiga pula menyaksikan jika juara Liga Super, juara Piala FA dan juara Piala Malaysia adalah pasukan sama, maka pasukan di tangga ketiga Liga Super akan mengikut naib juara liga untuk bermain di Piala AFC musim depan.
Slot pertama telah pun menjadi milik Terengganu yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.
Ini bermaksud skuad kendalian Ong Kim Swee sudah boleh merangka perancangan sebaiknya untuk mempersiapkan pasukan mereka untuk musim akan datang.