- Pasukan: Uruguay
- Benua: Amerika Selatan
- Kali terakhir layak: 2018
- Pencapaian terbaik: Juara (1930 & 1950)
Juara sulung Piala Dunia, Uruguay tiba di Qatar 2022 dengan jangkaan untuk terus menjadi jaguh bola sepak Amerika Selatan dan dunia.
Walaupun hadir dengan skuad yang ditunjangi oleh ‘kuda tua’, Uruguay tetap menjadi ancaman pelbagai pasukan baik mereka yang juga dari Amerika Selatan seperti Argentina dan Brazil serta gergasi bola sepak Eropah.
Menepati ramalan
Dalam perjalanan ke Qatar 2022, Uruguay menjadi pasukan ketiga yang berjaya mengesahkan tempat ke Piala Dunia.
Sukar untuk mengatasi kualiti Argentina dan juga Brazil, Uruguay menamatkan saingan kelayakan zon Amerika Selatan ditangga ketiga selepas mengutip 28 mata.
Keputusan itu terhasil selepas mereka mencatatkan lapan kemenangan, empat seri dan enam kekalahan.
Uruguay turut mencatatkan jumlah jaringan dan bolos yang seimbang apabila mereka menghasilkan 22 gol serta melepaskan bilangan yang sama.
Ini menjadikan perbezaan jaringan mereka adalah sifar.
Kuda tua
Melihat kepada komposisi skuad yang dibawa ke Qatar 2022, Uruguay membawa ramai ‘kuda tua’ ke Piala Dunia yang menjadi tunjang skuad kebangsaan selama ini.
Nama-nama seperti Fernando Muslera, Diego Godin, Luis Suarez dan Edinson Cavani sudah pasti akan diharapkan untuk terus membawa cabaran Uruguay ke peringkat yang lebih tinggi dalam kejohanan ini.
Walaupun teraju utama adalah pemain-pemain veteran dalam pasukan, tetapi Uruguay turut disokong oleh bintang-bintang muda yang akan menjadi penyambung legasi mereka selepas ini.
Federico Valverde, Ronald Araujo dan Darwin Nunez adalah generasi pelapis Uruguay dan mereka dilihat akan terus bersama dalam skuad negara itu untuk beberapa tahun mendatang.
Eksperimen juga sudah dilakukan apabila Nunez sering digandingkan bersama-sama Suarez dibahagian serangan dan tidak terlalu mengharapkan kepada gandingan Suarez-Cavani.
Skuad ini dilihat sebagai tua namun begitu ancaman dari segi kualiti adalah bahaya untuk mana-mana pasukan yang berdepan dengan mereka.
Jangan dipandang rendah
Uruguay dianggap sebagai pasukan pilihan dalam kumpulan H untuk mara ke pusingan seterusnya.
Walaupun kumpulan tersebut dihuni Korea Selatan, Ghana dan juga Portugal, Uruguay masih lagi dilihat mampu untuk menyelesaikan setiap cabaran yang bakal dihadapi dengan baik.
Pertemuan semula dengan Portugal pastinya akan mengulangi apa yang terjadi ketika Rusia 2018 apabila Suarez dan Cavani bergabung untuk menyingkirkan Cristiano Ronaldo.
Mereka adalah pasukan yang tidak boleh dipandang rendah, jika tersilap pastinya akan dihukum.
Semoga berjaya, Uruguay.