Melihat situasi semasa, Johor Darul Ta’zim (JDT) mungkin pasukan pilihan untuk melengkapkan kesemua kejuaraan pada musim ini.
Namun begitu, Selangor juga berpotensi besar untuk menjulang Piala Malaysia kali ke-34 dan mengecewakan hasrat lawan mereka pada Sabtu ini.
Antara sebab utama mengapa Selangor dilihat mampu mencipta kejutam di pentas akhir nanti adalah faktor Tan Cheng Hoe.
Benar, Cheng Hoe nama yang cukup sinonim dalam arena bola sepak Malaysia.
Pengendali berusia 54 tahun ini mempunyai rekod baik di kejohanan berprestij ini.
Ketika membimbing Kedah dari tahun 2014-2017, beliau melakukan revolusi terhadap pasukan tersebut dan telah kecapi pelbagai kejayaan.
Antaranya kejuaraan Liga Premier, kejuaraan Piala Malaysia pada 2016 selain layak ke perlawanan akhir pentas yang sama untuk tiga tahun berturut-turut.
Pada era itu, corak pemainan hantaran pendek atau tiki-taka begitu terkenal untuk pasukan dari Utara ini.
Pada tahun 2017, Kedah sudah bertemu JDT namun mereka tewas di pentas akhir kerana Cheng Hoe ketika itu sudah pun bersama-sama skuad kebangsaan.
Hal ini telah menimbulkan kemarahan peminat kerana ketika itu pasukan berada di prestasi terbaik dibawah jagaanya.
Ini adalah masa terbaik untuk beliau membalas dendam atas kekalahan dahulu biar pun dari pasukan yang berbeza.
Ketika ini, Cheng Hoe membuktikan dirinya mempunyai sentuhan emas di Piala Malaysia apabila berjaya membantu Gergasi Merah ke perlawanan akhir yang pertama sejak Piala FA pada 2018.
Sebelum kehadiran bekas jurulatih kebangsaan ini, prestasi Selangor terumbang-ambing.
Namun masalah itu telah diselesaikan oleh Cheng Hoe biar pun baru mengambil alih pasukan, ia bukan alasan untuk pengendali tersebut melakukan perubahan dari segi corak permainan Selangor.
Dari segi bertahan dan menyerang juga dapat dilihat perubahan begitu ketara buat pasukan tersebut.
Selain itu, satu tiket ke Piala AFC musim hadapan juga memberi tonik tambahan buat para pemain Selangor untuk turun bermati-matian bagi memastikan tiket itu menjadi milik mereka.
Jika JDT turun dengan dengan terlalu yakin, mereka berpeluang kehilangan trofi ini sekali lagi seperti mana Kuala Lumpur City lakukan pada edisi 2021.
Bagi pasukan Sabah pula, mereka pasti akan memberi sokongan penuh terhadap JDT untuk muncul juara dan menewaskan Selangor.
Sokongan Sabah bukanlah sokongan kosong sebaliknya mereka menaruh harapan begitu tinggi seperti Gunung Kinabalu kerana jika Harimau Selatan berjaya rangkul kejuaraan, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee akan ke Asia musim depan.
Ini kerana Sabah menduduki tempat ketiga liga dan JDT sudah pun layak ke Liga Juara-Juara Asia (ACL) untuk musim hadapan.
Secara automatiknya, satu lagi slot Piala AFC akan diisi oleh pasukan yang memperoleh kelab di tempat ketiga liga jika juara Liga Super dan Piala Malaysia adalah sama.
Situasi ini sama seperti Penang pada musim lalu yang mengharapkan JDT muncul juara tapi yang terjadi adalah sebaliknya.