Setem Istimewa Diperkenalkan Sempena Saingan Piala Malaysia 2022

Pos Malaysia telah pun memperkenalkan set koleksi setem keluaran terbaharu mereka bersempena dengan saingan Piala Malaysia 2022 yang kini sedang berlangsung dan telah memasuki pusingan suku akhir.

Ianya diperkenalkan sebagai salah satu tanda penghormatan buat semua kelab yang berdaftar bersama Malaysia Football League (MFL) yang menyertai saingan tersebut musim ini serta mempamerkan beberapa pemain terpilih pada setem tersebut.

Hasil kolaborasi antara Pos Malaysia bersama MFL, set keluaran terhad ini didedikasikan dalam folder Setem Ku buat para penyokong bola sepak bersemangat serta penggemar  yang mengumpul setem.

Pelancaran setem itu juga dibuat bersempena dengan perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 26 November 2022 untuk menyaksikan siapa juara musim ini.

Menurut laporan MFL, set tersebut

mengandungi satu helaian kertas bersama 16 setem yang berbeza.

Setiap satu setem mewakili satu aksi pemain terpilih yang menyerlahkan warna pasukan diwakili mereka pada musim ini.

Antara contoh watak pemain yang terpilih dalam set setem istimewa ini memaparkan gandingan antara Arif Aiman bersama Bergson da Silva untuk mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selain itu, Terengganu (Faisal Halim dan Kpah Sherman), Sabah (Baddrol Bakhtiar dan Amri Yahyah), Selangor (Mukhairi Ajmal dan Brendan Gan), Negeri Sembilan (Zaquan Adha dan Herold Goulon), Kelantan (Nurshamil Abdul Ghani dan Syed Sobri), serta Kuching City (Yuki Tanigawa dan Shafizi Iqmal).

Set lengkap koleksi tersebut turut disertakan bersama tiga sampul surat, tiga poskad, serta set folder yang dibuat secara teliti bersama nombor siri.

Harga yang diperkenalkan ialah RM45 setiap satu dan dikeluarkan secara terhad sebanyak 1800 set sahaja buat para peminat setem dan penyokong bola sepak tempatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, beliau jelas sangat teruja dan berbesar hati untuk menjadi rakan kongsi dipercayai bersama MFL.

“Pos Malaysia sangat teruja dan berbesar hati untuk menjadi rakan logistik kepercayaan MFL.

“Sepanjang sembilan bulan hubungan kami ini, Pos Malaysia bangga kerana berjaya menyampaikan 132 bola perlawanan, dua trofi yang sangat penting iaitu Liga Super dan Piala FA, dan banyak lagi untuk MFL, kelab bola sepak MFL, serta rakan kongsi MFL yang lain.

“Bagi kami pula, menerusi pengeluaran setem MFL ini menunjukkan komitmen kami dengan kerjasama dibuat itu.

“Tambahan pula, ia ada peluang terbaik kami untuk memanfaatkan kelompok penyokong bola sepak tempatan bagi membina kepercayaan dan kesetiaan jenama ini sambil memberi kegembiraan dan keterujaan kepada sukan yang digemari jutaan orang.

“Sebagai penyedia perkhidmatan negara, kami bersemangat untuk membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan serta membawa senyuman ke tahap terakhir,” jelas beliau.

Presiden MFL iaitu Dato’ Ab Ghani Hassan pula menyatakan rasa gembira beliau akan usaha yang dibuat oleh MFL serta mengalu-alukannya dengan tangan terbuka.

Begitu juga dengan pandangan positif yang dilontarkan oleh Stuart Ramalingam selaku Ketua Pegawai Eksekutif MFL yang menyifatkan usaha Pos Malaysia memperkenalkan setem edisi terhad itu sangat ditunggu-tunggu mereka.

Pos Malaysia juga dijangka bakal membuat satu peraduan yang diberi nama Setem Ku TM Piala Malaysia 2022.

Dengan setiap pembelian set setem keluaran terhad tersebut, mereka berpeluang untuk memenangi tiket akhir perlawanan Piala Malaysia 2022 bersama beberapa cenderahati daripada Pos Malaysia dan MFL.

Folder istimewa tersebut boleh didapati secara online menerusi laman web rasmi Pos Malaysia atau di Pejabat Pos utama di Kuala Lumpur bermula pada 9 November ini.

Sumber:
MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN