Menjelang musim Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi, semua parti politik berlumba-lumba menggiatkan kempen untuk merebut undi termasuklah menerusi medium media sosial.
Tidak ketinggalan adalah Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi kawasan Dungun yang turut mempunyai halaman Facebook mereka sendiri yang aktif memuat naik pelbagai kandungan bagi mempersembahkan gerak kerja mereka.
Ia merupakan langkah yang positif ditampilkan untuk membuktikan betapa gigihnya ‘perjuangan’ demi memenangkan parti di kawasan mereka.
Apatah lagi Parlimen Dungun boleh dianggap sebagai salah satu ‘kubu kuat’ PAS di Terengganu di mana wakil mereka Wan Hassan Mohd Ramli menang dengan majoriti yang agak selesa menewaskan pencabar terdekat dari Barisan Nasional.
Wakil rakyat berkenan juga dikatakan antara Ahli Parlimen yang agak aktif di dalam sidang Dewan Rakyat dan mempunyai rekod kerja yang baik sepanjang perkhidmatannya.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mendapati masih banyak rumah terbengkalai dan mahu nasib pembeli yang membayar hutang bank terbela.#SisiTVParlimen#DewanRakyat#AWANInews pic.twitter.com/dSeXPwmb3C
— Astro AWANI (@501Awani) December 16, 2021
Namun begitu, tindakan pengendali akaun ‘Pemuda PAS Dungun’ memuat naik satu hantaran yang ‘mengheret’ kelab bola sepak Terengganu ke dalam kempen mereka telah menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan peminat bola sepak di negeri Pantai Timur itu.
Hantaran tersebut memaparkan imej Ketua Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain bersama pengurus pasukan, Fadhil Wahab, iaitu salah seorang pemimpin muda PAS di Terengganu yang didakwa dilantik ke jawatan tersebut secara ‘lantikan politik’.
Apa yang menunjukkan hantaran tersebut jelas ‘berbaur politik’ adalah tanda pagar #Prihatin, #BersihdanStabil dan #PNBEST yang digunakan oleh gabungan politik PAS iaitu Perikatan Nasional (PN) dalam kempen pilihan raya kali ini.
Lantaran itu, hantaran tersebut telah ‘diserang’ oleh komen-komen penyokong Terengganu yang tidak mahu kelab bola sepak kesayangan penduduk negeri itu dicemari dengan politik kepartian.
Oleh yang demikian, diharapkan Pemuda PAS Dungun atau mana-mana akaun media sosial parti-parti politik yang lain lebih berhati-hati dalam menjalankan kempen mereka.
Mungkin niat awal mereka adalah untuk menampilkan sisi positif kepimpinan Fadhil Wahab yang mula memimpin pasukan tersebut pada awal musim ini.
Terengganu muncul naib juara Piala FA dan menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, sekaligus layak ke saingan Piala AFC pada musim depan.
Namun matlamat tidak menghalalkan cara. Jika tindakan tersebut secara jelas menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat, dikhuatiri yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.