Bakal Sertai Revolusi Manchester United, Siapakah Michael Edwards Dan Kenapa Beliau Disanjung Tinggi Di Liverpool?

Ketika ini angin sedang bertiup kencang mengenai spekulasi Michael Edwards yang dilaporkan bakal dilantik sebagai Pengarah Sukan Manchester United.

Individu berusia 43 tahun itu telah meninggalkan posisinya sebagai Pengarah Sukan Liverpool pada musim panas lalu selepas enam tahun yang penuh gemilang ketika menduduki jawatan tersebut di Anfield.

Pastinya masih segar di ingatan penyokong The Reds – yang tentunya berharap perkhabaran tersebut tidak akan berlaku – tentang kehebatan Edwards yang dilabel sebagai ‘mahaguru’ dalam mengendalikan urusan jual beli pemain di kelab tersebut.

Seperti dialog Kassim Baba dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, “Kanda tidak sangka dinda punya otak geliga boleh bikin batu cincin”, mungkin itulah tahap kebijaksanaan Edwards sehingga mampu menghasilkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat skuad kendalian Jurgen Klopp dalam tempph beberapa tahun ini.

Antara rekrutnya yang paling berjaya adalah Virgil van Dijk, Alisson Becker, Mohamed Salah, Andy Robertson, Harvey Elliot, Diogo Jota dan Fabinho.

Sebagai pengarah sukan, beliau turut bertanggungjawab untuk ‘buat duit’ dengan penjualan beberapa pemain. Penyerang muda Rhian Brewster berjaya dijual ke Sheffield United dengan tag harga £23.5 juta. Malah pemain seperti Dominic Solanke, Jordan Ibe dan Ryan Kent – yang kini sudah ‘kelam’ – telah menghasilkan nilai jualan gabungan sejumlah £42 juta.

Berdasarkan profil ini, pastinya berita penghijrahannya ke Manchester United untuk menyertai ‘Revolusi Ten Hag’ menarik perhatian pelbagai pihak.

Siapakah Michael Edwards?

Edwards pada awalnya menyertai Liverpool pada 2011 sebagai ketua unit statistik dan kemudiannya dinaikkan pangkat ke beberapa jawatan penting lain seperti Pengarah Prestasi Teknikal serta Pengarah Teknikal.

Pada 2016, beliau telah pun diberi kepercayaan sebagai Pengarah Sukan pada usia 37 tahun dan mula bekerjasama rapat dengan Klopp serta pemilik pasukan, Fenway Sports Group (FSG) dalam merangka strategi keluar masuk pemain bagi memastikan ‘kesegaran’ skuad dan kestabilan kewangan pada setiap musim.

Sumber dari Football Insider melaporkan Manchester United telah menawarkan ‘kontrak lumayan’ yang mungkin sukar ditolak oleh Edwards, sekaligus menewaskan beberapa pesaing lain.

Chelsea di bawah pemilik baharu Todd Boehly juga tidak ketinggalan memasuki perlumbaan untuk mendapatkan khidmatnya meskipun kelab London berkenaan baru sahaja melantik Joe Shield iaitu bekas ‘orang penting’ Manchester City dan Southampton sebagai pengarah perekrutan.

Pihak pengurusan The Red Devils melihat potensi besar dan kepakaran dimiliki Edwards untuk mengetuai program pembangunan bola sepak bermula dari akademi, skuad remaja sehinggalah pasukan utama.

Namun matlamat utama pastilah untuk memulihkan model perniagaan terutamanya urusan jual beli pemain yang ketara mengalami kegagalan serius dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Akan tetapi, memandangkan Edwards sebelum ini secara jelas telah mengumumkan beliau tidak mahu memendekkan tempoh ‘berehatnya’ dari bola sepak, maka Manchester United mungkin perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga musim panas yang akan datang untuk mengumumkan ketibaannya ke Old Trafford.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN