Kejatuhan pemain muda dan ‘cinggey’ mungkin amat berkait rapat dalam arena bola sepak tempatan dan Safee Sali ada pesanan khas mengenainya.
‘Cinggey’ adalah bahasa pasar yang merujuk kepada teman wanita dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid. Dan tentunya kita pernah mendengar bagaimana prestasi pemain muda negara yang sedikit demi sedikit merundum disebabkannya. Anda tahu siapa diantaranya kan?
Apa kata watak Jijoe lakonan Khir Rahman yang berpesan kepada Slash lakonan Pekin Ibrahim mengenainya? Ia adalah tentang tiga perkara yang boleh menjatuhkan sesebuah negara dan ‘cinggey’ adalah salah satunya.
“Ada tiga perkara yang boleh menjatuhkan sebuah negara. Satu rasuah, kedua tidak menepati masa dan ketiga cinggey.”
Safee Sali merupakan pemain yang berpengalaman luas dalam arena bola sepak tempatan. Beliau pernah berkelana ke Indonesia, malah pernah juga menggegar arena bola sepak di rantau Asean pada satu ketika dahulu.
Walaupun usianya sudah berada di hujung karier – 38 tahun, Safee masih boleh menjadi rujukan pemain-pemain muda tentang bagaimana untuk menjadi seorang pemain yang berjaya dek kerana kudratnya masih ditagih.
Walaupun jarang sekali melihat aksinya bersama ‘The City Boys’ musim ini, sumbangan besarnya terhadap bola sepak negara tidak boleh disangkal.
Dalam sebuah program di Stesen Radio Buletin.fm kendalian Hanif Miswan dan Haiza Hanafi pada hari ini, Safee sempat meninggalkan pesanan khas kepada pemain muda. Ia berkaitan dengan pemain muda dan ‘cinggey’.
“Pemain junior [muda] ni kadang dia [mereka] hanyut. [Mereka] dalam proses untuk mengenal kehidupan itu macam mana.”
“Kita dah lalui semua itu. ‘So’, kitalah [pemain senior] yang kadang-kadang kena ‘guide’ dan kena ‘sound’ [tegur] mereka.”
Safee Sali, Buletin.fm
Apa yang dikatakan Safee ada benarnya. Pemain senior adalah rujukan terbaik buat pemain muda. Selain menjadi guru di padang, mereka juga adalah mentor mengenai kehidupan di luar padang. Seperti katanya, pemain-pemain muda ini dalam proses mengenal kehidupan mereka.
“Pernah juga dalam masalah lain juga, saya terus ‘direct’ tanya dia [pemain muda], – kenapa kau jadi macam ni?’. Saya cakap [nasihat], fikir untuk keluarga, untuk ‘team’, [sebab] kau main bola. Panjang lagi karier. Jangan fikir untuk keseronokan [sahaja].”
Syifa Melvin Dakwa Tak Pernah Paksa Safawi Berkahwin Dengannya https://t.co/9jjHRuApjc pic.twitter.com/mgfUPFWgEu
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 4, 2020
Mungkin gangguan-gangguan di luar padang inilah yang menjatuhkan karier pemain-pemain muda. Dan seperti pesanan Safee, jangan hanya fikir mahu berseronok sahaja kerana karier bola sepak mereka masih lagi panjang.
Jika dek kerana ‘cinggey’ sehingga merundum prestasi, Malaysia akan kehilangan pemain yang boleh diharapkan di pentas antarabangsa.
Masih ingat kisah Safawi Rasid dan Syifa Melvin yang dikatakan menjadi punca merosotnya prestasi pemain berpotensi negara itu sehinggakan pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) terpaksa tampil masuk campur membuat teguran tentangnya.
Jom renung lagi kata-kata Jijoe dalam filem itu tentang teman wanita;
“Yang ‘cinggey’ ni lah, jangan sampai ‘cinggey’ ni menjadi batu sempadan untuk menghalang bakat kita. ‘Terer’ tak ‘terer’, ‘terer’ tak ‘terer’. Yang tak ‘terer’ ni sebab ‘cinggey’ lah.”
Diharapkan pesanan Safee Sali kepada pemain muda ini menjadi pedoman. Malah, kata-kata Jijoe juga wajar menjadi ingatan khusus buat mereka agar bakat di usia muda itu tidak terhalang kerana masalah cinta dan ‘cinggey’.