Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sah menjadi juara saingan Liga Super musim ini telah pun menyambut kejuaraan mereka di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, semalam dengan sangat meriah.
Menerusi kutipan mata akhir terkumpul, JDT gah berada di puncak liga dengan dibezakan 12 mata sahaja berbanding naib juara iaitu Terengganu.
📸 Galeri penyampaian trofi Liga Super kepada juara musim kesembilan berturut-turut, Johor Darul Ta’zim, malam tadi! 🏆
Lagi gambar di Facebook MFL: https://t.co/xoW842OXMq#LigaSuper2022 pic.twitter.com/yGGh65Ldr1
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 16, 2022
Lebih manis, kejuaraan tersebut turut dihiasi dengan kemenangan terakhir mereka dalam saingan liga, setelah JDT berhasil menewaskan cabaran Sabah menerusi keputusan penuh 3-0.
Rekod pasukan itu juga nyata gah apabila JDT langsung tidak mencatat sebarang kekalahan pada musim ini daripada 22 perlawanan dilalui selain hanya mengalami keputusan seri sahaja.
Selain mendominasi kejuaraan Liga Super, pasukan tersebut juga gah dalam saingan Liga Premier, setelah kelab ‘feeder’ itu juga turut muncul sebagai juara.
Salah seorang pemain baharu pasukan tersebut musim iaitu Jordi Amat, telah pun meluahkan rasa bangga dengan kejayaan JDT musim ini.
Jordi yang mempunyai kerakyatan Indonesia itu pada musim ini masih lagi belum mencipta penampilan sulung beliau dalam saingan tersebut.
Aksinya pertama kali dibawa turun ketika perlawanan 16 terbaik saingan AFC Champions League (ACL) sewaktu berdepan Urawa Reds Diamond dengan diri beliau dipilih dalam kesebelasan utama.
“Bangga dan bersyukur untuk menjadi sebahagian daripada kelab ini,” jelas pemain pertahanan tegap itu menerusi Instagram miliknya.
Sesuatu yang menarik buat Jordi ialah ini merupakan kejuaraan sulung beliau dalam saingan liga sejak Jordi bergelar sebagai pemain bola sepak profesional.
Menurut Bola.com, fakta tersebut agak menarik kerana Jordi sebelum itu hanya mewakili pasukan pertengahan liga di Eropah dan masih belum menggenggam mana-mana kejuaraan.
Sepanjang karier beliau di Eropah, Jordi telah pun mewakili beberapa pasukan besar seperti Rayo Vallecano, Swansea City, Betis, dan K.A.S Eupen sebelum bersama JDT.
Jordi Amat dilihat bakal membuat penampilan lebih besar pada musim hadapan bersama JDT dalam persiapan kelab itu untuk tampil lebih bersedia dalam saingan ACL akan datang.
Jordi Amat signs for 🔵🔴
More photos at https://t.co/e1ln0Pv84m#NewSigning#JDTFamily#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/tXl3HdHhSp
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) June 29, 2022
Beliau juga dilihat sebagai suatu aset penting untuk skuad kebangsaan Indonesia, apabila pengalamannya mampu mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan kendalian Shin Tae-yong.