Bekas pengendali Chelsea, Thomas Tuchel dilaporkan bersedia untuk kembali ke England sebagai salah satu misi meneruskan karier pengurusannya.
Beliau yang disingkirkan oleh Chelsea untuk digantikan dengan Graham Potter kini mensasarkan untuk kembali bersama dengan para pemainnya di kelab itu tetapi menerusi medium yang berbeza.
Hal ini kerana, Tuchel dikatakan mahu untuk menjawat jawatan sebagai pengurus England dan menggantikan Gareth Southgate.
Walaupun berita ini mungkin akan disambut baik oleh sesetengah penyokong England yang tidak gemarkan Southgate, tetapi Tuchel bukanlah mahu mengambil jawatan itu sebelum Piala Dunia di Qatar bermula.
Sebaliknya, beliau mahu mengemudi skuad The Three Lions selepas Piala Dunia berakhir.
Tuchel dikatakan bersedia untuk berbincang dengan pihak FA England mengenai potensi menggantikan Southgate.
Namun begitu segalanya boleh berubah jika Southgate mengubah nasib England di Qatar dengan membawa bola sepak balik ke rumah.
Akan tetapi, rekod yang terlalu buruk dalam saingan UEFA Nations League sehingga mereka tersingkir dari League A membuatkan nama Southgate mula buruk.
Jika Tuchel dilantik menggantikan Southgate, penyokong England boleh menaruh harapan tinggi kepadanya dek kerana rekod cemerlang dalam kejohanan kalah mati.
Sebagai contoh, Tuchel berjaya memenangi UEFA Champions League pada musim pertamanya di Chelsea dengan skuad yang 100% dibina oleh Frank Lampard.
Tuchel juga berjaya membawa Chelsea ke dua perlawanan akhir musim lalu iaitu EFL Cup dan FA Cup namun mereka cuma dipisahkan dengan penentuan sepakan penalti untuk mendakap piala.
Mereka tewas kedua-dua kejuaraan itu ditangan Liverpool.