Penyokong bola sepak di Indonesia dijangka akan dapat kembali menyaksikan aksi pasukan kesayangan mereka dalam masa terdekat – kemungkinan pada bulan November.
Hal ini kerana, siasatan yang dilakukan terhadap insiden yang berlaku di Malang tempoh hari kini sudah mula menemui konklusinya dan saingan Liga 1 Indonesia kini sedia untuk diadakan semula.
Buat masa sekarang, saingan domestik di Indonesia ditangguh terlebih dahulu dengan sebuah gerak kerja melibatkan kerajaan Indonesia, Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah pun ditubuhkan untuk menyiasat insiden yang berlaku di Stadium Kanjuruhan itu.
Gabungan itu dikenali sebagai Gerak Kerja Transformasi Bola Sepak Indonesia.
Hasil daripada siasatan yang dilakukan oleh gerak kerja ini, mereka telah membuat keputusan untuk mensasarkan agar saingan domestik Indonesia dapat dilakukan seawal 25-26 November ini.
Keputusan ini diambil bagi membolehkan pihak gerak kerja melakukan beberapa lagi tugasan antara mengaudit gelanggang bola sepak di Indonesia mengikut arahan Presiden Joko Widodo
Perkara ini adalah selari dengan tujuan gerak kerja itu ditubuhkan untuk meningkatkan lagi kualiti bola sepak Indonesia.
“Pertama sekali, mewakili pihak persatuan, kami sekali lagi memohon maaf atas tragedi yang berlaku dan PSSI bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang terjadi.
“Sesuai dengan arahan Presiden Jokowi untuk mengaudit semua stadium. Saya juga telah mendapatkan maklumat, Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat juga sedang berada di Stadium Kanjuruhan untuk melihat sendiri kualitinya,” kata Iwan Bule, rakan baik Ketua Umum PSSI – Mochamad Iriawan.
Tragedi di Malang telah mengorbankan hampir 200 nyawa penyokong bola sepak termasuk beberapa pegawai polis yang terlibat ketika gas pemedih mata dilancarkan ke arah penonton yang hadir.
Ianya jelas antara tragedi bola sepak paling teruk dalam sejarah.