Semalam, Indonesia baru sahaja selesai mengharungi aksi persahabatan mereka dengan mencatat kemenangan 3-2 untuk mengatasi cabaran Curacao.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api (GBLA), Curacao gagal untuk menghalang kemaraan tuan rumah yang tampil dengan aksi serba menyakinkan di segenap posisi.
Hasil akhir 3-2 untuk kemenangan Indonesia atas Curacao di malam ini.
Terimakasih atas doa dan dukungan sobat Garuda! ✊#KitaGaruda #MeraihImpian #TimnasDay pic.twitter.com/ExpvyDL9UA
— PSSI (@PSSI) September 24, 2022
Namun sesuatu yang agak menarik untuk diperkatakan apabila salah seorang penjaga gol Curacao meluahkan rasa minat untuk dirinya beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia pada masa akan datang.
Pemain tersebut merupakan Jean-Marc Antersijn yang merupakan salah seorang pemain muda dalam pasukan kebangsaan beliau iaitu Curacao.
Jean menyatakan perkara tersebut menerusi laman Instagram miliknya semalam dengan meluahkan rasa kagum dirinya mengenai budaya dan keramahan warga Indonesia.
“Saya sangat menantikan pertandingan malam ini melawan Indonesia. Tempat ini sangat indah, dengan orang-orang yang sangat ramah, dan saya sangat menikmati waktu saya di Indonesia.
Mungkin saya bisa mendapatkan klub di sini di negara yang indah ini, siapa tahu. Bahasa Indonesia semakin membaik terus,” jelas Marc menerusi Instagram beliau semalam.
Marc ketika ini masih lagi menjadi milik Atlantic City yang beraksi di Amerika Syarikat dan beliau pernah beraksi di beberapa buah lagi negara seperti Sweden dan Belanda.
https://www.instagram.com/p/Ci4Su3Ir9EP/?igshid=MTA0ZTI1NzA=
Pada perlawanan semalam, Marc tidak dibawa turun beraksi dalam senarai kesebelasan utama ketika Curacao menghadapi tentangan Indonesia di gelanggang lawan.
Sebaliknya, pengendali Curacao ketika itu memberi peluang kepada seorang lagi penjaga gol mereka iaitu Tyrick Jeremy Bodak dan pemain tersebut telah melepaskan tiga gol dalam aksi semalam.
Curacao sebelum itu berjaya meledak gol pembukaan perlawanan menerusi tonggak serangan mereka iaitu Rangelo Janga pada minit ke-7, sebelum pemain naturalisasi Indonesia, Marc Klok kembali menyamakan kedudukan 12 minit kemudian.
Indonesia akhirnya berjaya mendahului lawan mereka pada minit ke-23 menerusi pemain senior mereka iaitu Fachrudin Aryanto setelah menerima umpanan cantik daripada Pratama Arhan.
Namun, kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila pelawat kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan Juninho Bacuna selang dua minit selepas itu.
Di separuh masa kedua, Indonesia sekali lagi tampil dengan aksi yang sangat positif sehingga berjaya mendapatkan gol ketiga mereka hasil jaringan penyerang berbisa mereka iaitu Dimas Drajad pada minit ke-56.
Keputusan perlawanan kekal dengan kemenangan berpihak kepada pasukan tuan rumah dengan tiada jaringan tambahan dapat terhasil menerusi kedua pasukan.
Menurut CNN Indonesia, aksi timbal balik melibatkan kedua pasukan tersebut akan berlangsung pada 27 haribulan ini di Stadium Pakansari, Bogor.