Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengaku yang beliau tidak boleh beri jaminan Darwin Nunez tidak akan dilayangkan kad merah sekali lagi menjelang derbi Marseyside menentang Everton.
Penyerang Uruguay berkenaan telah dibuang padang oleh pengadil Paul Tierney ketika The Reds terikat 1-1 dengan Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield sebelum ini akibat gagal mengawal barannya dan bertindak menanduk muka Joachim Andersen.
Beliau kemudian dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan di atas kesalahan tersebut dan terlepas aksi liga menentang Manchester United, Bournemouth dan Newcastle United.
Menjelang kunjungan ke Goodison Park, Klopp dalam sidang media sebelum perlawanan mendedahkan pihak kelab telah pun bercakap dengan Nunez agar dapat mengawal emosi dan sikap barannya di atas padang.
“Sejujurnya dia adalah pemain muda yang bagus, tetapi dia juga manusia biasa yang mempunyai emosi, jadi dia lakukan kesilapan,” ujar Klopp.
“Dalam tempoh 15 hari ini kami ada bercakap kepadanya ‘kamu perlu lebih tenang’, sudah tentu kami buat. Kalau tak silap saya Luis Suarez juga ada menasihatinya melalui media atau berita.
“Benda dah pun berlaku dan ideanya adalah bagaimana untuk dia gunakan situasi ini untuk tebus semula kesilapannya dengan cara bola sepak dan itulah yang dia perlu fikirkan.”
Tambah Klopp lagi, Nunez perlu bersedia dengan aksi fizikal berdepan lawan seperti Everton yang mempunyai dua pemain pertahanan tengah berpengalaman James Tarkowski dan Conor Coady.
Everton setakat ini bergelut dengan prestasi selepas masih gagal mencatat sebarang kemenangan. Skuad kendalian Frank Lampard itu menghuni tangga ke-17 liga dengan hanya mengumpul tiga mata selepas lima perlawanan.