Arsenal meneruskan rentak cemerlangnya sejak permulaan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan merekodkan kemenangan kelima berturut-turut selepas menundukkan Aston Villa 2-1 di Stadium Emirates pada awal pagi Khamis.
Arsenal yang menguasai babak pertama hanya berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-31 menerusi Gabriel Jesus berjaya menyudahkan bola muntah di hadapan gol susulan percubaan Granit Xhaka yang ditepis bekas penjaga gol The Gunners, Emiliano Martinez.
Namun Villa kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-74 selepas sepakan penjuru David Luiz terus melencong masuk ke gawang gol.
Meskipun terdapat bantahan dari pemain-pemain Arsenal yang mendakwa penjaga golnya Aaron Ramsdale dihalang oleh Boubacar Kamara, semakan menerusi VAR mengesahkan gol tersebut.
Namun Arsenal hanya memerlukan tiga minit untuk mengesahkan gol kemenangan mereka dengan Gabriel Martinelli muncul wira dengan menyudahkan hantaran lintang Bukayo Saka.
Namun yang lebih mencuri perhatian adalah ‘kenduri’ besar Manchester City di mana penyerang baharunya Erling Haaland sekali lagi ‘mengganas’ mencatat hatrik kedua berturut-turut untuk membantu juara bertahan itu meraih kemenangan 6-0 ke atas Nottingham Forest.
Selepas cemerlang mencipta kebangkitan dengan menjaringkan tiga gol pada babak kedua pada perlawanan menentang Crystal Palace tempoh hari, penyerang Norway itu hanya memerlukan 38 minit untuk mencetak tiga jaringan lagi menjadikannya sebagai penjaring terbanyak liga dengan sembilan gol dari lima perlawanan musim ini.
Keputusan lain menyaksikan Liverpool terus menghasilkan keputusan positif dengan kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United di Anfield yang turut menyaksikan pasukan pelawat mendapat gol menerusi penyerang baharunya Alexander Isak.
West Ham United pula terikat 1-1 dengan Tottenham Hotspur yang terus mengekalkan rekod tanpa kalahnya pada musim ini sementara Bournemouth dan Wolverhampton Wanderers pula terikat tanpa jaringan.