Suatu Ketika: Filem Fiksyen Bola Sepak Yang Bertemakan Semangat Anti-Kolonial Dan Jiwa Merdeka

Suatu Ketika Merdeka

Seharian penulis memikirkan, apakah pengisian artikel yang sesuai untuk dipersembahkan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini yang menandakan ulang tahun ke-65 negara kita mengecapi nikmat kemerdekaan.

Akhirnya terdetik untuk mengulas tentang satu filem bertemakan bola sepak arahan anak tempatan Prakash Murugiah yang pernah diterbit pada tahun 2019 yang lalu iaitu Suatu Ketika.

Filem fiksyen ini mengambil latar masa sekitar era 50-an, iaitu fasa peralihan di mana negara kita dalam usaha untuk mendapatkan kemerdekaan mutlak daripada pihak British.

Meskipun ia tidak disandarkan kepada fakta atau kisah benar, namun menurut pengarah filem ini sendiri, ianya diadaptasi dari ‘cerita-cerita orang lama’ untuk menambah elemen-elemen patriotisme dan semangat anti-kolonial yang wujud dalam jiwa rakyat tempatan pada waktu itu.

Ia mengisahkan tentang kesatuan hati sekumpulan kanak-kanak sebuah sekolah di Tanah Melayu, Sekolah Ujong Pasir yang perlu menentang pasukan sekolat elit British, St. James dalam kejohanan JG Davidson Cup yang dianggap sangat berprestij.

Nama piala itu dipercayai diambil daripada nama Residen British Pertama di Selangor iaitu James Guthrie Davidson yang turut pernah menjadi Residen British ketiga di negeri Perak.

Di saat pasukan bola sepak sekolah Inggeris dibarisi murid ‘orang putih’ yang berkelebihan dari segi fizikal dan fasiliti yang serba lengkap, ianya seakan-akan mustahil untuk melihat anak-anak tempatan di sekolah kebangsaan menyaingi kemampuan mereka.

Penjajah fasis British begitu sinonim dengan pegawainya yang bersikap angkuh, kurang ajar dan memandang hina terhadap masyarakat tempatan. Maka sudah tentulah anak-anak mereka di sekolah mewarisi kebiadaban itu dan dibawa sehingga ke atas padang.

Pasukan bola sepak Sekolah Ujong Pasir diwakili oleh 12 orang murid berusia 12 tahun. Anak-anak ini ibarat 12 butir permata ini berbeza rupa dan bentuknya, bermakna setiap daripada mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Pasukan yang serba kekurangan itu dibimbing oleh dua orang jurulatih ‘tidak bertauliah’ iaitu Pak Saad dan Cikgu Sulaiman yang dilakonkan oleh Namron dan Pekin Ibrahim.

Syukri, Usop, Husin, Atan, Panjang, Guna, Suresh, Tuah, Bakri, Dol, Lee Meng dan Kudin adalah watak kanak-kanak yang datang dari latar belakang keluarga yang berbeza. Namun mereka membesar dan menimba ilmu di satu sekolah yang sama.

Ianya merupakan satu mesej bahawa sekolah satu aliran telah terbukti dapat menyatukan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

Suatu Ketika adalah citra bangsa Malaysia yang menjanjikan kepuasan dan sesuai ditonton oleh semua lapisan umur. Di saat sentimen perkauman semakin membarah di negara kita, karya ini muncul pada waktu yang tepat untuk menyemarakkan semangat cintakan negara.

Ia turut menyelitkan babak-babak penting tentang elemen kekeluargaan, persahabatan, kesyukuran, kegigihan, kesederhanaan dan kasih sayang yang diadun dengan cukup berkesan untuk meruntun jiwa.

Kredit Foto: Kash Pictures

Jelas ‘suatu ketika’ dahulu, masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu boleh hidup secara muhibbah dan bersatu padu dalam suasana yang harmoni. Darah dan keturunan kita mungkin berbeza, tetapi kita perlu mencari titik persamaan untuk membina negara yang kita sayangi ini.

Keindahan setiap bait kata-kata yang dilontarkan sewajarnya dinikmati dengan penuh penghayatan. Setiap babak dihiasi dengan mesej serta pengajaran untuk diamati dengan sebaiknya sehingga mampu mengusik emosi para penonton.

Lagu runut bunyi (OST) bertajuk Ayuhlah ciptaan Michael Veerapan dan ditulis sendiri oleh penyanyi legenda tanah air iaitu Datuk Zainal Abidin melengkapkan rencah filem ini.

Terdapat satu babak dalam filem ini yang menarik perhatian penulis iaitu dialog kata-kata Pak Saad kepada Kudin, seorang kanak-kanak istimewa yang tempang.

“Bunga jika nak cantik, ia perlukan baja, air dan cahaya. Semua orang mahu menikmatinya. Tetapi yang menjadikan bunga itu cantik adalah penjaganya,” kata Pak Saad ketika ditanya Kudin bilakah dirinya berpeluang untuk bermain bola sepak bersama rakan sepasukannya yang lain.

Bunga Raya adalah bunga kebangsaan dan ia adalah simbolik kepada negara kita. Ramai orang sukakan kecantikan bunga, tetapi di sebalik itu, apakah faktor yang menjadikan bunga itu tumbuh dengan baik dan segar?

Tidak semua orang berpeluang untuk menyerlah seperti sekuntum bunga. Sebahagian yang lain akan berperanan sebagai penjaga, baja, air, tanah, cahaya dan sebagainya.

Setiap daripadanya perlu saling melengkapi antara satu sama lain agar bunga itu berkembang mekar untuk dinikmati dan dikagumi oleh sesiapa sahaja yang melihatnya.

Falsafah yang diselitkan ini bagaikan satu homage kepada filem Laskar Pelangi – sebuah filem Indonesia yang turut sarat dengan falsafah dan sinematografi cemerlang seperti Suatu Ketika.

Dengan bola sepak menjadi temanya, menonton Suatu Ketika ibarat menonton Laskar Pelangi yang ‘dikahwinkan’ dengan Ola Bola – satu perbandingan yang cukup tinggi dalam standard perfileman tempatan.

Filem ini kini boleh ditonton di platform penstriman Netflix. Inilah filem yang wajib dinikmati dan dihayati bersama keluarga sempena bulan kemerdekaan pada tahun ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN