Sejak kebelakangan ini semakin banyak khabar angin mengenai perpindahan pemain dan jurulatih menjadi bualan hangat di media sosial dalam kalangan para penyokong bola sepak tempatan.
Antara yang menjadi sebutan dalam kalangan penyokong setakat ini mengenai masa depan pengendali Terengganu, Nafuzi Zain yang kini dikaitkan perpindahan ke Selangor.
🎥 HEAD COACH POST MATCH PRESS CONFERENCE #FASF 🏴🏳️
Komen Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain selepas menentang Selangor FC.#TerengganuFC#WeBleedBlackandWhite #TFCTV pic.twitter.com/lFE1ZdA6MJ— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) August 6, 2022
Nafuzi yang berjaya membawa dimensi baharu dari segi corak permainan Terengganu mula menjadi perhatian setelah kejayaan beliau membawa kelab tersebut mara ke peringkat akhir saingan Piala FA musim ini.
Walaupun begitu, Nafuzi menafikan khabar perpindahan beliau setakat ini yang dikaitkan bersama Selangor, dengan menyatakan tiada sebarang tawaran diberikan kelab tersebut kepada dirinya.
Pada masa sama, Nafuzi juga mengakui setakat ini beliau masih lagi belum menandatangani kontrak lanjutan bersama Terengganu untuk membimbing kelab tersebut pada musim hadapan.
Namun, Nafuzi menyifatkan ia sebagai normal dalam kancah bola sepak profesional untuk mereka menilai tawaran kontrak yang diberikan oleh mana-mana kelab menerusi perbincangan.
“Saya tersangat okey. Spekulasi berkenaan tidak pun menjejaskan persiapan pasukan kerana setakat ini saya belum menerima apa-apa tawaran daripada TFC dan belum lagi menandatangani kontrak.
“Lagi pun saya tidak pernah berbincang mengenai perkara itu untuk persiapan pasukan dalam Liga M musim depan.
“Begitu juga yang mengaitkan saya ke Selangor FC musim depan. Itu semua adalah ‘rumours’ ( khabar angin), sebab dalam dunia bola sepak ianya asam garam sebagai jurulatih mahupun pemain.
“Bagaimanapun ianya satu penghargaan buat saya, walaupun perkara itu (tawaran Selangor FC) tidak ada,” katanya mengulas mengenai spekulasi Selangor berminat mendapatkan khidmatnya menerusi Berita Harian.
Seterusnya, pengendali dari Kelantan itu menjelaskan dirinya ketika hanya mahu memberi fokus penuh pada Terengganu dengan mahu membantu kelab tersebut meraih kedudukan ketiga terbaik musim ini.
Tambah Nafuzi, fokus utamanya kini mengenai persiapan pasukan menjelang aksi final Piala FA 2022 yang bakal berlangsung pada 10 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Bahang semakin terasa! 🔥
2️⃣ minggu lagi sehingga perlawanan akhir Piala FA 2022! 🏆#PialaFA2022 pic.twitter.com/VXW8YOuGx6
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 27, 2022
“Tumpuan saya kini adalah bersama TFC musim ini sebab banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi termasuk liga dan Piala Malaysia. Namun sebagai jurulatih profesional saya menerima sahaja mana-mana pihak yang ingin berbincang. Itu normal bagi saya.
“Tapi buat masa ini saya belum memikirkan soal tawaran kerana yang penting untuk tingkatkan lagi prestasi pasukan. Terlalu awal untuk memikirkan perkara itu,” katanya.
Ketika diminta untuk mengulas mengenai karier pemain bawah kendaliannya iaitu Faisal Halim, Nafuzi akui sukar untuk meneka mengenai destinasi beliau selepas ini.
“Itu pandangan peribadi dia (Faisal) sebagai seorang pemain. Saya sebagai jurulatih pula sudah pasti sangat hargai apabila dia berkongsi perkara berkenaan, maknanya dia selesa dan suka dengan corak kendalian saya.
“Lagipun memang dari tahun lepas kita sudah nampak perubahan dan peningkatan Faisal daripada semua aspek. Perkara ini bagus untuk dia dan boleh dijadikan contoh dalam kalangan pemain muda Terengganu sendiri,” tambah beliau.
Terengganu kini dilihat berada dalam momentum terbaik mereka setelah kejayaan menumpaskan Selangor dan Sri Pahang sebelum itu dalam saingan Liga Super 2022.