Di sebalik prestasi buruk skuad utama Selangor di pentas Liga Malaysia musim ini, kejayaan skuad bawah 19 tahun (B-19) menjuarai Piala Belia 2022 mungkin sedikit sebanyak dapat mengubati kedukaan.
Meskipun kedudukan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh itu terikat 1-1 sehingga tamat perlawanan, skuad kendalian Firdaus Aziz itu menang secara agregat k atas Sri Pahang selepas memenangi aksi final pertama di Stadium UiTM, Shah Alam pada Sabtu lalu.
Selangor terlebih dahulu membuka gol perlawanan pada minit ke-67 apabila sepakan percuma Amirul Haziq berjaya menggegar gawang pasukan tuan rumah.
Sri Pahang kemudian kembali menghidupkan perlawanan dengan gol hasil percubaan jarak jauh Nazul Izamil Zulkifli pada minit ke-73 dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.
Selangor B19 Juara Piala Belia 2022! 🏆
Kemenangan malam ini adalah satu permulaan untuk anda semua. Teruskan perjuangan ini #GergasiMerah! 🔴🟡#MKLK #PialaBelia2022 pic.twitter.com/Yyajdy5r0g
— Selangor FC (@selangorfc) August 26, 2022
Pencapaian tersebut membuktikan bahawa komitmen Selangor dalam memberi penekanan terhadap program pembangunannya di peringkat akar umbi telah menunjukkan keberkesanannya.
Sejak 2019, Selangor telah melancarkan Selangor FC Soccer School yang bertujuan untuk menyediakan latihan bola sepak yang konsisten dan teratur buat kanak-kanak di bangku sekolah di seluruh pelusuk negeri.
Idea tersebut adalah bagi memastikan usaha untuk mencungkil bakat-bakat baharu dapat dilaksanakan dengan merangka latihan asas tanpa mengira tahap dan potensi pelatih-pelatih muda sejak di peringkat sekolah.
Projek yang diketuai oleh Kanason Rajagobal itu turut mendapat sentuhan Pengarah Sukan Selangor, Michael Feichtenbeiner dengan menyediakan aktiviti sama ada di sekolah mahupun di padang-padang awam.
Acara "Rumah Terbuka Aidilfitri" hari ini dimulakan dengan sesi SFC Soccer Schools. Satu pendedahan yang baik untuk ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sesi ini kerana mendapat peluang dilatih oleh barisan kejurulatihan Selangor FC sendiri.
1/2 pic.twitter.com/iTyrRygi8j
— Selangor FC (@selangorfc) May 29, 2022
Selain itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) juga terus komited dalam menganjurkan kursus-kursus kejurulatihan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Usaha tersebut dapat melahirkan jurulatih berpengetahuan yang dapat menyumbang khidmat kepada komuniti bukan sahaja di negeri Selangor tetapi di seluruh dunia memandangkan ada peserta yang datang dari luar negara.
Meskipun skuad utama Selangor di bawah bimbingan Nidzam Jamil ketika ini bergelut dengan prestasi, namun masa depan pasukan ini untuk kelangsungan lima hingga 10 tahun akan datang boleh ditafsirkan sebagai ‘cukup terjamin’.