Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak iaitu Bobie Farid Shamsudin meluahkan rasa tidak puas hati beliau mengenai prestasi yang dipamerkan oleh pasukannya dalam aksi Liga Premier 2022 semalam.
Beliau meluahkan rasa tersebut menerusi media sosial rasminya di Facebook serta di Instagram setelah tamat perlawanan dengan cara agak beremosi.
Pada aksi semalam, Perak tewas di tangan Skuad Projek FAM-MSN dengan keputusan 1-3 di Stadium Ipoh, walaupun sebelum itu mereka mendahului lawan dengan satu jaringan di separuh masa pertama.
KEPUTUSAN MASA PENUH – LP16#LigaPremier2022 pic.twitter.com/dpMEWGycIH
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 21, 2022
Bobie Farid jelas terkilan dengan situasi perlawanan semalam sehingga beliau meluahkan rasa dengan perkataan yang agak kasar di media sosial.
“Macam tak reti main bola, anat semua ni,” luah Bobie Farid yang jelas mendapat perhatian ramai para penyokong ketika itu menerusi ayat beliau di media sosial.
Beliau pastinya kecewa setelah aksi yang diharapkan daripada Perak tidak menjadi kenyataan semalam.
Ditambah kemenangan tersebut merupakan kejayaan sulung yang dilakar oleh pasukan lawan pada musim ini dalam saingan Liga Premier dan menjadikan Perak sebagai mangsa pertama mereka.
Bobie Farid yang dilantik sebagai CEO sementara Perak beberapa bulan lalu telah memulakan langkah baharu menerusi kejayaan menandatangani khidmat pemain import serta beberapa tonggak tempatan.
Perak juga sudah mula berada momentum terbaik sebelum itu menerusi tiga perlawanan dihadapi mereka tanpa mencatat sebarang kekalahan sebelum tersekat di tangan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan semalam di tangan Skuad Projek FAM-MSN.
Apa yang perlu dibuat ketika ini oleh Bobie Farid sebaiknya beliau wajar berjumpa dengan para pemain serta kejurulatihan untuk berbincang mengenai masalah dihadapi Perak secara bersemuka.
Perak sebenarnya sudah pun berada di landasan terbaik ketika ini setelah mereka akhirnya berjaya mendapatkan pemilik baru pasukan, setelah terumbang ambing pada awal musim.
Kini segalanya terserah kepada mereka yang terlibat bagaimana untuk mencorakkan kembali pasukan tersebut supaya menjadi lebih digeruni.
Aksi longlai yang ditampilkan mereka semalam pastinya bukan sahaja menaikkan kemarahan Bobie Farid, malah para penyokong juga pastinya terkilan corak permainan pasukan semalam.