Wow, wow ini adalah satu kejutan yang amat terkejut dan boleh mengubah corak penganjuran Piala Dunia!
Tiga negara dari tiga benua berbeza, Greece, Arab Saudi dan juga Mesir dikatakan bersedia untuk membida bagi menjadi tuan rumah bersama untuk saingan Piala Dunia 2030.
Menurut laporan di Greece, ketiga-tiga negara dikatakan sedang giat mempersiapkan segala perkara yang perlu dilakukan terutamanya berkaitan fail sebelum idea tersebut dibentangkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Idea untuk menganjurkan kejohanan Piala Dunia dengan tiga tuan rumah pastinya dilihat selepas kejayaan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada yang menjadi hos bersama Piala Dunia 2026.
Namun begitu, tiga negara tersebut adalah dari benua yang sama iaitu Amerika Utara manakala Greece, Arab Saudi dan juga Mesir masing-masing adalah dari Eropah, Asia dan Afrika.
Idea ini pastinya berakar umbi dengan penganjuran Piala Dunia 2002 yang ketika itu Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah.
Idea penggabungan tiga negara dari tiga benua berbeza untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia ini pastinya menjadi evolusi kerana untuk edisi 2030, terdapat beberapa negara lain turut merancang untuk bergabung menjadi hos.
Cuma mereka adalah gabungan dari benua yang sama seperti Portugal-Sepanyol (Eropah), Maghribi-Tunisia-Algeria (Afrika) dan Uruguay-Argentina (Amerika Selatan).
Paraguay dan Chile juga antara negara yang berminat untuk menjadi tuan rumah namun mereka dijangka membida sebagai tuan rumah tunggal sahaja.