Menerusi penstrukturan semula yang bakal dilaksanakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada musim hadapan, kebanyakan pemerhati bola sepak serta penyokong menganggap ianya bakal memberi masalah buat pemain tempatan.
Namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melihat dari satu sudut berbeza apabila badan tersebut menganggap dengan pertambahan kuota import tidak sepatutnya melemahkan semangat para pemain.
Scott O’Donell selaku Pengarah Teknikal FAM melihat penstrukturan tersebut sebagai suatu cabaran baharu buat pemain tempatan sekiranya mereka mahu merebut kesebelasan utama yang pastinya akan lebih dikuasai oleh pemain import.
Liga Malaysia 2023 bakal berwajah baharu apabila Malaysian Football League (MFL) mengorak langkah dengan melakukan penstrukturan semula bagi memastikan liga bola sepak profesional negara itu lebih dinamik dan berdaya saing.#LigaMalaysia2023
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 20, 2022
“Satu perkara yang mencabar untuk memastikan pemain muda mendapat minit perlawanan dan dengan pertambahan kepada 34 perlawanan bermula musim depan, ini satu langkah yang positif.
“Dengan lima pemain import di atas padang dan satu pemain di bangku simpanan, ini adalah satu cabaran untuk pemain tempatan kita bagi meyakinkan jurulatih yang mereka juga layak untuk beraksi dalam kesebelasan utama.
“Saya pun tak pasti kerana penggunaan (sembilan) import ini bergantung pada pasukan tetapi pemain tempatan kita perlu buktikan kemampuan mereka juga,” katanya menerusi Berita Harian.
Untuk penstrukturan baharu yang dibuat MFL ini, pendaftaran pemain import telah dinaikkan kepada 9 orang pada musim hadapan yang membabitkan pasukan beraksi dalam saingan Liga Super.
Tujuan perkara tersebut dibuat untuk mengelakkan percanggahan berlaku apabila pasukan yang tiada pasukan simpanan atau ‘feeder’ hanya mampu mendaftarkan 5 pemain sahaja.
Berbanding tiga kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu, dan Selangor, kelab tersebut mempunyai pasukan simpanan yang membenarkan penggunaan import dan bilangan pemain lebih daripada lain.
Walaupun diberi kelebihan mendaftarkan sembilan pemain import musim hadapan, MFL hanya membenarkan lima pemain beraksi pada satu masa agar slot tempatan tidak akan terjejas.
Rakan Kongsi Liga menyambut baik penstrukturan semula Liga Malaysia yang dilaksanakan oleh Malaysian Football League (MFL) dalam memastikan saingan liga yang lebih berdaya saing bermula musim depan.#LigaMalaysia2023
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 21, 2022
Menerusi kebenaran untuk lima import beraksi di atas padang, MFL juga memberi satu slot tambahan untuk pemain simpanan agar kuota wakil tempatan tidak terjejas.
Dalam masa sama, Datuk Ab Ghani Hassan selaku Presiden MFL menjelaskan tiada kewajipan untuk setiap pasukan mendaftarkan sembilan pemain import kerana perlu memikirkan dana kewangan masing-masing.