Adakah langkah MFL menghapuskan pasukan simpanan secara tidak langsung membantu skuad Harimau Muda? Dengan tiada lagi pasukan simpanan, MFL kini mewujudkan pula Liga Simpanan sebagai ganti.
Biasalah, tiap perkara akan ada kelebihan atau kekurangannya dan langkah operator Liga Malaysia (Liga M), Malaysian Football League (MFL) menghapuskan konsep pasukan simpanan sewajarnya disambut baik.
Di Liga M, hanya ada tiga pasukan yang memiliki pasukan simpanan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC. Sentiasa didendang pengendali lain, tiga pasukan ini memiliki kelebihan ‘pool’ pemain.
Misalnya pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak ketika mengulas mengenai kekalahan kepada Terengganu baru-baru ini, beliau mengatakan antara faktornya adalah lawan memiliki lebih pilihan pemain.
“Saya sentiasa berkata, kami tidak seperti Terengganu. Mereka ada dua pasukan dan boleh saling bertukar ganti pemainnya. Mereka ada lagi 25 pemain untuk dipilih dari skuad kedua. Ini bukan satu alasan buat saya, kami telah cuba yang terbaik dan saya percaya pemain telah beri yang terbaik pada malam ini.”
MFL perkenal Liga Simpanan (Reserve League) musim depan
Seiring dengan perubahan besar-besaran struktur liga yang diumumkan MFL semalam, mereka turut akan memperkenalkan Liga Simpanan atau ‘Reserve League’ pada musim hadapan. Ia dikhaskan buat skuad B-23 pasukan bertanding bagi memastikan pemain-pemain muda selepas usia 21 tahun dijaminkan minit permainan.
Seperti yang kita tahu, pertandingan Piala Presiden yang diuruskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah untuk pemain berusia 21 tahun dan ke bawah sementara saingan Piala Belia pula khusus kepada skuad B-19.
Selepas berusia 21 tahun, ke manakah hala tuju pemain-pemain daripada skuad Piala Presiden? Pecah masuk ke skuad utama mereka? Hanya sebilangan kecil yang mampu merealisasikannya sementara majoritinya tidak.
Pasukan simpanan yang dimiliki JDT, Selangor dan Terengganu dilihat ada kelebihan dan kekurangannya. Bagi yang memanfaatkannya untuk pemain muda bermain, ia adalah platform terbaik, tetapi tidak semua pasukan ada pasukan simpanan. Mungkin atas faktor ini, MFL memansuhkannya dan ketengahkan Liga Simpanan.
JDT II are the Southern Tigers' reserve team with a purpose of exposing youngsters to professional football and providing playing experience with more senior players, who also gain match fitness.
[2/3]
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) September 23, 2021
MFL turut menjelaskan yang Liga Simpanan akan beroperasi sebagai ‘persediaan pemain’ melangkah ke Liga Super antaranya untuk pemain berusia 23 tahun ke bawah serta menjadi platform pemulihan pemain senior.
“Liga Super 2023 turut akan disokong oleh Liga Simpanan (Reserve League) yang menjadi pentas kepada pembangunan pemain B-23 bagi memastikan jaminan minit permainan berdasarkan kajian MFL di mana pemain-pemain muda tidak mendapat minit di pasukan utama.”
“Liga Simpanan ini bukan sahaja perlu dilihat daripada aspek pembangunan sebaliknya Liga Simpanan ini adalah pembaharuan positif untuk pemain tempatan di mana ia akan beroperasi sebagai ‘persediaan pemain’ untuk melangkah ke Liga Super.”
Malaysia semakin ramai pemain berkualiti hasil NFDP
Mengapa ia bagus untuk dilaksanakan ketika ini? Sebagaimana yang kita lihat, prestasi skuad B-19 Malaysia amat memberangsangkan apabila menjuarai kejohanan Piala AFF B-19 di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Malah pengendalinya turut menyatakan berbanding dahulu, ramai pemain muda Malaysia ketika ini berkualiti dibantu oleh Pogram Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) berbanding hanya Sekolah Sukan dahulu.
“Jika kita lihat dengan lebih dekat, NFDP ada pelbagai lapisan seperti Sekolah Sukan Negeri, Pusat Latihan Daerah dan kemudian Akademi Mokhtar Dahari [AMD]. Mereka yang dari AMD sudah mendapat pendedahan beraksi di peringkat kompetitif pada usia yang muda dan ini memudahkan mereka apabila beraksi di peringkat antarabangsa.”
Rata-rata pemain ini masih mendapat minit permainan di saingan Piala Presiden dan Piala Belia. Apabila umur mereka menjengah ke usia 22 tahun, mereka perlu bersaing dengan pemain senior dalam skuad utama. Dan ketika inilah, bakat-bakat muda yang pada awalnya menyerlah di kejohanan bawah umur mula pudar namanya.
Ini kerana, cara pengendalian permainan oleh pasukan-pasukan di Liga Super mahupun Premier dilihat tidak membantu perkembangan mereka. Ada antara mereka yang gagal mendapat peluang untuk bermain di liga.
Harus diingat, saban tahun, NFDP melahirkan ramai graduan baharu bola sepak Malaysia. Ini platform mereka?
Gagal pecah masuk skuad utama rencat perkembangan
Masih ingat dengan pemain-pemain yang muncul juara Piala AFF B-19 pada edisi 2018? Majoritinya ketika ini dalam lingkungan usia 22 ke 23 tahun. Adakah di kalangan mereka yang telah membarisi skuad utama Liga Super ataupun Liga Premier? Ataupun adakah sudah menjadi bintang buat pasukan yang mereka wakili?
Antara pemain yang bermain ketika itu adalah penjaga gol, Azri Ghani, Shivan Pillay, Nik Akif Syahiran, Zahril Azri, Hadi Fayyadh dan Akhyar Rashid. Di mana tahap mereka ketika ini? Sudah kerap mendapat minit permainan?
Mungkin inilah punca mengapa skuad B-23 yang hampir membariskan pemain yang sama gagal menghadirkan impak yang baik di saingan Piala AFF, kelayakan Piala Asia B-23, Sukan SEA dan akhirnya di Piala Asia B-23.
‘Pengalaman’ Jadi Punca Malaysia Tumbang Bak Kata Maloney – “Ada Yang Bermain Dengan Skuad Senior”
Pemain-pemain ini ada kualiti tersendiri, namun perkembangan mereka terganggu dek kerana kurangnya minit permainan. Dengan wujudnya Liga Simpanan yang boleh pemain pada usia sebegitu meraih minit permainan, ia akan sekaligus membangunkan kemampuan mereka beraksi. Pentas liga sedia ada dilihat tidak membantu.
Bagaimana Arif Aiman dan Suphanat Mueanta menyerlah?
Dengan keghairahan pasukan mengambil pemain import serta mengutamakan pemain-pemain berpengalaman, bilakah pemain-pemain muda akan meraih pengalaman yang mampu tingkatkan tahap kematangan mereka?
Lihat bagaimana pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi yang berkembang menjadi antara pemain sayap paling berpotensi pada usia 20 tahun. Beliau mula meraih minit permainan bersama JDT pada usia 17 tahun 10 bulan. Malah, beliau telah memintas pemain-pemain senior seperti Safawi Rasid untuk berada dalam skuad utama.
‘Bintang ‘Bunuh’ Bintang’ – Safawi Rasid Yang Kian Pudar Gemerlapan Bintangnya
Kita juga boleh lihat bagaimana penyerang muda Thailand, Suphanat Mueanta boleh menjadi sebagaimana beliau ketika ini – penyerang utama skuad B-23 di usia 19 tahun. Beliau meledak 11 gol dalam 11 penampilan bersama skuad itu. Malah bersama skuad senior, beliau telah melakar tiga gol dalam lapan penampilan.
Beliau adalah pemegang rekod pemain dan penjaring termuda di Thai League 1, liga utama Thailand di usia 15 tahun bersama Buriram United. Di usia 19 tahun, beliau telah beraksi 71 kali dan meledak 16 gol di Thai League.
Di mana pemain kita di usia 15 tahun? Ada tempat buat mereka di liga utama? Kita sudah ada jawapannya.
UPDATE: 17 year-old striker Supphanat Muenta ruled out from Thailand national team since he got injury from the last match and will be rested for 2 weeks.
Suphanat is the top scorer among Thai players after scoring 7 goals from 18 matches in Thai League 1 this season. pic.twitter.com/QW63fZdRDF
— All Things Thai Football 🇹🇭 (@ThaiFootballs) August 21, 2019
Penutup
Oleh itu, dengan perkembangan kewujudan Liga Simpanan yang dikhaskan buat skuad B-23, ia secara tidak langsung akan membantu skuad Harimau Muda. Tidak dinafikan kouta pemain import yang turut dibenarkan dalam skuad tersebut sedikit mengganggu, namun keseluruhannya masih ada yang positif buat pemain muda.
Jika sebelum ini mereka mungkin kurang atau langsung tidak berpeluang untuk bermain melainkan pemain di JDT, Selangor dan Terengganu – ada pasukan simpanan di Liga Premier, kini ada ruang untuk mereka pamer kemampuan dan prestasi selepas melepasi had usia layak bermain bersama skuad Piala Presiden selepas itu.
Jika sebelum ini, mungkin hanya ketiga-tiga pasukan itu miliki platform, namun selepas ini, Liga Simpanan adalah platform terbesar buat mereka. Semua pasukan akan ada pasukan simpanan dan sedia memberi ruang. Kita mahu melihat mereka melangkah jauh terutamanya di rantau Asia dan tentunya ke Piala Dunia Remaja!
Selepas kejayaan projek skuad Harimau Muda satu masa dahulu, usaha baharu ini juga wajar kita sokong.