Kelibat bintang pertahanan Indonesia, Asnawi Mangkualam dalam saingan K-League semakin mendapat perhatian ramai apabila terbaharu berjaya membantu kelab diwakilinya iaitu Ansan Greeners mencatat kemenangan.
Lebih manis, itu merupakan kemenangan pertama kelab tersebut selepas tewas sebanyak empat kali berturut-turut dan Asnawi juga turun selaku pemain kesebelasan utama menurut Bola.com.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Busan Asiad, Ansan Greeners berjaya menewaskan lawan mereka iaitu Busan Ipark dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal Kwon Young-hwo.
Asnawi yang mendapat kepercayaan Jeong Heon-im untuk membarisi kesebelasan utama berjaya memberi persembahan yang baik sepanjang perlawanan berlangsung.
Pada perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan dilihat saling sukar untuk memperoleh jaringan pertama perlawanan selain bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
Walaupun Busan Ipark lebih menguasai permainan, nyata skuad diwakili Asnawi mampu bertahan dengan baik dan menggerakkan serangan balas pantas sekiranya mereka memperoleh ruang.
Ketika perlawanan dijangka berkesudahan seri, akhirnya Ansan Greeners berjaya membuka akaun jaringan mereka pada minit ke-83 untuk terus mengesahkan kemenangan mereka dalam perlawanan tersebut.
Walaupun menghadapi saat getir apabila salah seorang pemain Ansan Greeners memperoleh kad merah, keputusan kekal tamat sehingga wisel dibunyikan untuk memihak kepada pasukan diwakili Asnawi tersebut.
Menerusi kemenangan tersebut, Ansan Greeners berjaya meraih kedudukan ke-10 carta liga dengan 20 kutipan mata berjaya dikumpul hasil 25 perlawanan telah dilalui mereka.
Kedudukan tersebut dilihat masih belum selamat dan Ansan perlu meraih kemenangan seterusnya untuk terus mencengkam posisi lebih baik dalam persaingan liga.
Untuk aksi seterusnya, Asnawi bersama rakan sepasukan lain bakal berhadapan lawan seterusnya iaitu Gimpo Citizens pada minggu hadapan dan pastinya momentum kemenangan ini ingin dikekalkan.
Asnawi berjaya mencipta nama beliau dalam arena bola sepak di Korea Selatan apabila menandatangani kontrak pada Februari tahun lalu bersama Ansan Greeners.
Secara keseluruhan, Asnawi telah pun beraksi sebanyak 30 perlawanan dan sudah pun mencipta satu bantuan gol buat kelab tersebut.
Pemain berusia 22 tahun itu dilihat masih mempunyai masa yang panjang untuk terus mencipta sesuatu bersama kelab tersebut pada masa hadapan dan seterusnya menjadi aset penting buat skuad kebangsaan Indonesia.
Kontrak pemain ini masih lagi terikat bersama Ansan Greeners sehingga bulan Disember tahun hadapan untuk terus membuktikan sesuatu yang positif.