Sejak musim 2020, pengurusan skuad Selangor mengamalkan pendekatan pengambilan ramai muda daripada Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) yang sebahagian besar ditempatkan bersama Selangor II.
Namun memasuki musim ketiga pengambilan pemain-pemain graduan AMD, berapa ramaikah antara mereka sudah mula menjadi pemain utama dalam skuad Selangor dalam saingan Liga Super?
Jawapannya adalah tiada walaupun ada segelintir pemain graduan AMD yang sekali sekala diturunkan sebagai pemain gantian. Realitinya, minit permainan mereka lebih banyak dalam saingan Liga Premier bersama Selangor II.
Pada musim 2020, seramai 17 graduan AMD diserapkan ke skuad Selangor II, pada 2021 pula 15 pemain dan 21 pemain untuk 2022.
Setakat ini memang tidak dinyatakan dengan jelas apakah perancangan pengurusan Selangor buat pemain-pemain ini.
Takkan dah lebih tiga tahun masih belum berupaya mencabar tempat dalam skuad utama Selangor?
Di sini persoalan wajar diajukan kepada pengendali Selangor, Michael Feichtenbeiner kerana beliau sebelum ini berkhidmat sebagai pengarah teknikal yang sepatutnya mempunyai perancangan jelas buat semua pemain termasuklah graduan AMD.
Jika kita lihat kepada pemain-pemain muda yang berupaya meraih tempat dalam kesebelasan utama bersama skuad Selangor semuanya bukanlah pemain graduan AMD.
Untuk rekod, Danial Asri adalah pemain dari Pusat Latihan Daerah (PLD) Kuala Selangor, Alif Haiqal pula hadir dari program pembangunan PKNS, sementara Sharul Nazeem adalah bakat yang diasah dari Liga Super FAS.
Mukhairi Ajmal adalah produk Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar yang kemudian bersama PKNP di Perak.
Tidak nafikan pemain seperti Harith Haiqal dan Zikri Khalili tetap berjaya menjadi watak utama dalam skuad B-23 Malaysia, hasil dariapda mendapat minit permainan bersama Selangor II dalam Liga Premier.
Bawa mereka ke luar
Tetapi mungkin lebih elok seandainya pengurusan Selangor merangka kerjasama dengan kelab-kelab luar sekitar Asia seperti Thailand, atau mungkin kelab divisyen dua di Korea Selatan atau Jepun untuk meminjam pemain-pemain graduan AMD ini.
Ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan jika kita berusaha untuk menjalin kerjasama dengan kelab-kelab tersbut dan hasilnya, pemain-pemain graduan AMD tersebut akan lebih bersedia bersaing untuk tempat dalam kesebelasan utama musim depan.
Jika hanya menempatkan mereka sebagai pemain bangku simpanan skuad utama Selangor atau kekal di Selangor II, ia ibarat tiada langsung perancangan untuk peningkatan pemain daripada pihak pengurusan.
Selaku seorang pemerhati sukan, saya secara peribadi tiada masalah dengan pendekatan pengurusan Selangor dalam pengambilan ramai pemain graduan AMD.
Tetapi pengambilan mereka biarlah berpada dan jangan pula sampai menganaktirikan anak sendiri yakni pemain-pemain yang terdiri daripada anak jati Selangor yang bukanlah graduan AMD.
Berdasarkan kajian yang saya lakukan terhadap pemain daripada pogram pembangunan belia Selangor dari 2012 hingga 2020, terdapat lapan pemain yang bakat mereka ditonjolkan ketika beraksi di peringkat daerah dan Liga FAS kini beraksi di Liga Super sama ada dengan Selangor atau pasukan lain.
Mereka adalah Sharul Nazeem, Danial Asri, Aliff Haiqal, A. Namathevan, K. Kannan, D. Kugan dan V. Ruventhiran yang membuktikan saingan Liga FAS turut berpotensi melahiran produk berkualiti.
Kerana itu, saya berharap pengurusan Selangor tidak akan mengabaikan bakat-bakat Selangor ini selepas mendapatkan kelibat graduan-graduan AMD.
Tidak mustahil satu hari nanti Selangor akan terlepas beberapa bakat muda berpotensi yang beraksi dengan kelab tempatan lain selepas dinafikan tempat oleh pasukan negeri kelahiranya.
Saya juga berharap program-pogram pembangunan belia Selangor ditingkatkan dan jika boleh menubuhkan akademi bola sepak sendiri untuk terus menghasilkan produk pemain berkualiti dengan skala yang besar.
Apakah pendekatan taktikal Feichteibeiner tidak digemari pemain-pemain utama Selangor? Jika dilihat kepada bahasa badan pemain dan corak permainan ia jelas tidak mustahil.
Feichtenbeiner kini masih dikekalkan Selangor sebagai ketua jurulatih namun, saya masih berasa waktu kian suntuk buat beliau meskipun berjaya merakam kemenangan dalam dua aksi terakhir Gergasi Merah.
Jika diteliti, ia jelas Feichtenbeiner sudah gagal dengan skuad utama dan juga gagal membentuk pemain-pemain muda berkualiti daripada AMD dengan baik dan berkesan.
Justeru saya kekal dengan pendirian saya untuk beliau segera ditamatkan khidmatnya sebelum saingan musim ini berakhGradir.