Menjelang aksi tertunda minggu kelapan saingan Liga Super 2022, perlawanan yang bakal diberi tumpuan kali ini membabitkan ialah Sabah menentang Terengganu di Stadium Likas, malam esok.
Apa yang menarik, kedua pasukan ini sedang berada dalam prestasi tersendiri yang pastinya memberi suatu cabaran sengit sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
🏴🏳️ PERLAWANAN SETERUSNYA #LIGASUPER2022 : SABAH FC VS TERENGGANU FC 🏴🏳️
SABAH FC vs TERENGGANU FC
📆 19 Julai 2022 – SELASA
⏰ 8.15 pm
🏟 Stadium Likas, Kota Kinabalu#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/YFKVl3e0pW— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) July 17, 2022
Walaupun tewas pada perlawanan baru-baru ini, Sabah dilihat berjaya aksi sengit ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kini menjadi antara lawan sukar untuk dikalahkan dalam saingan liga domestik.
Sementara Terengganu pula, mereka tampil dengan momentum terbaik setakat ini apabila berjaya mencatat kemenangan dua kali di laman sendiri untuk mengetepikan cabaran Kedah Darul Aman (KDA) menerusi aksi sangat cemerlang.
Pada perlawanan malam esok, ada empat pemain yang bakal diberi tumpuan berdasarkan aksi lalu mereka yang dilihat sangat menonjol bersama pasukan masing-masing.
Faisal Halim
Pemain kebangsaan ini menjadi antara watak penting dalam serangan Terengganu menerusi kelebihan yang dimiliki beliau.
Berbekalkan larian deras, skil kawalan bola yang baik, serta ketajaman beliau di hadapan gol, jelas Faisal kini berada dalam momentum terbaik untuk terus mengkucar kacirkan pertahanan lawan.
Gandingan beliau bersama Faiz Nasir setakat ini dilihat berjaya untuk memberi nilai tambah dari segi sudut kreativiti Terengganu dalam penghasilan gol.
Kpah Sherman
Kpah bukan lagi satu nama asing dalam dunia bola sepak tempatan apabila beliau sentiasa konsisten dalam mana-mana pasukan diwakili sejak awal penyertaaan dirinya dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Musim ini beliau menjadi taruhan utama buat Nafuzi Zain sebagai penyerang utama dan Kpah boleh beraksi dengan baik bersama mana-mana gandingan diletakkan pengendali tersebut dalam setiap perlawanan.
Aspek fizikal dan kualiti penyudah yang ada pada Kpah tidak perlu dipertikaikan lagi, dan musim 2022 sekali lagi menjadi tahun terbaik buat pemain ini kekal konsisten meledak gol, serta tampil selaku salah seorang penyerang mencuri tumpuan ramai pemerhati bola sepak tempatan.
Park Tae-su
Pemain dari Korea Selatan ini sudah beraksi dengan cukup lama bersama Sabah sejak tahun 2019 dalam saingan Liga Premier.
Kesetiaan beliau bersama Sabah nyata memberi suatu hasil yang pastinya akan dikenang pemain tersebut sampai bila-bila apabila tahun ini dilihat Tae-su sedang menikmati musim terbaiknya bersama pasukan menerusi aksi terbaik diberikan.
Pemain serba boleh ini boleh beraksi selaku pertahanan dan pemain tengah serta memiliki kualiti sepakan jarak jauh tepat, kawalan bola yang baik, serta kreatif mengatur serangan dari bawah.
Beliau juga sudah meledak dua gol berturut-turut dalam dua aksi sebelum itu ketika menentang Negeri Sembilan dan JDT, dan pastinya memberi motivasi terbaik buat Tae-su untuk berdepan Terengganu.
Khairul Fahmi Che Mat
Penjaga gol utama Sabah ini sedang berada dalam prestasi terbaiknya pada musim 2022 menerusi aksi konsisten beliau bersama pasukan.
Khairul Fahmi bukan lagi satu asing dalam negara dan beliau masih boleh dikatakan sebagai antara penjaga gol terbaik dalam saingan liga tempatan musim ini.
Aksi lalu sewaktu berdepan JDT, Khairul Fahmi jelas banyak menghampakan serangan JDT menerusi aksi penyelamatan dibuat beliau yang sangat tangkas sepanjang permainan berlangsung.
Selain cekap menjaga gawang gol, Khairul Fahmi juga mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang bagus apabila beliau lantang dalam memberi arahan buat para pemain lain ketika situasi bertahan.