Desas-desus mengenai kemungkinan bekas pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe bakal dilantik sebagai ketua jurulatih baru Selangor kini semakin kuat kedengaran di media sosial biar pun pihak pengurusan Selangor ketika ini masih mengekalkan pengendali Jerman – Micheal Feichtenbeiner.
Kemenangan 1-0 Selangor ke atas seteru setempat, Kuala Lumpur City dalam aksi pusingan kedua Piala FA 8 Julai lalu, meredakan sedikit tekanan buat Feichtenbeiner walaupun sebahagian peminat setia Selangor masih mahukan jurulatih itu ditamatkan khidmatnya jika dilihat kepada komen-komen di laman sosial Facebook dan Instagram rasmi pasukan.
Cheng Hoe ketika dihubungi baru-baru ini, tidak menafikan atau mengesahkan sama ada beliau ada dihubungi pegawai pengurusan Selangor mengenai kemungkinan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih.
“Saya tidak boleh komen apa-apa buat masa ini kerana masih tiada apa-apa tawaran buat masa ini dan saya juga belum menentukan haluan karier saya buat masa ini.
“Saya menghargai keyakinan peminat Selangor terhadap saya tetapi, saya tidak boleh apa-apa komen lagi mengenai perkara ini,” kata Cheng Hoe yang melepaskan jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya Januari lalu.
Meskipun pengakhiran kelibat Cheng Hoe selaku pengendali skuad negara tidak begitu baik pada saingan Piala AFF 2020, beliau tampak jurulatih tempatan terbaik ketika ini untuk mengambil alih tugas sebagai pengendali Selangor seandainya, Feichtenbeiner suda tidak lagi relevan.
Dari segi kelayakan, Cheng Hoe mempunyai lesen kejurulatihan professional AFC yang merupakan syarat utama buat mana-mana jurulatih yang ingin mengendalikan pasukan Liga-M.
Jurulatih berusia 54 tahun ini juga sudah merasai saingan di peringkat bawah umur apabila menjadi penolong ketua jurulatih skuad B-19, Harimau Muda A, B-23 dan skuad senior negara.
Di peringkat Liga-M, Cheng Hoe cemerlang membantu Kedah menjuarai saingan Liga Premier 2015 dan naib juara Piala Malaysia sebelum menjuarainya pada musim 2016.
Selaku pegendali Haimau Malaya, Cheng Hoe membantu barisan negara muncul naib juara Piala AFF edisi 2018 yang membuktikan beliau kian matang di pentas antarabangsa.
Jika dilihat kepada pemain-pemain dalam skuad Selangor, beberapa pemain seperi Brendan Gan, Khairulazhan Khalid, Shareel Fikri pernah berlatih dibawah Cheng Hoe ketika bersama pasukan kebangsaan sebelum ini.
Justeru, Cheng Hoe dijangka tidak berdepan masalah mencanang pendekatan terbaik kerana sudah mengenenali beberapa pemain tonggak Selangor.
Bagi saya sendiri, Cheng Hoe adalah pilihan terbaik buat Selangor kerana dalam konteks bola sepak Malaysia jawatan sebagai pengendali Gergasi Merah adalah tugas kedua paling sukar selepas ketua jurulatih Harimau Malaya.
Oleh itu, calon yang menjadi pilihan pihak pengurusan perlulah seorang jurulatih yang terbukti mampu meraih kejayaan, tenang hadapi tekanan dan mempunyai perwatakan yang dihormati pemain.
Apa yang pasti, Cheng Hoe bukan seorang jurulatih dari Eropah yang sebelum ini hanya mengendalikan pasukan kelab liga daerah di negara asalnya dan menerapkan pendekatan taktikal serta formasi yang tidak sesuai buat pasukannya.