Kita sudah semakin kurang melihat kelibatnya di saingan Liga Malaysia (Liga M) dan adakah langkahnya ke Portugal menyebabkan Safawi Rasid kian kehilangan sinar bintang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT)?
Untuk rekod, Safawi melangkah ke Portugal pada Oktober 2020 dan selepas hampir dua bulan, beliau akhirnya kembali disebabkan tidak diberikan peluang untuk tampil beraksi dalam skuad utama Portimonense SC.
Portimonense merupakan kelab di liga utama Portugal, Primiera Liga dan tentunya pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mahu melihat anak buahnya bermain.
Sebaik pulang dari sana, Safawi seolah-olah disumpah. Sehingga kini, kita masih gagal untuk melihat prestasi baik daripadanya seperti pada tahun 2019 – tahun di mana beliau merupakan bintang utama JDT dan Malaysia.
Safawi Rasid Dan Syafiq Ahmad Adalah Penjaring Utama Harimau Malaya 2019
Realitinya bintang ‘bunuh’ bintang
Pahit untuk ditelan sebenarnya apabila kemunculan Arif Aiman Hanapi adalah antara faktor utama mengapa gemerlapan bintang Safawi kian memudar. Pada awalnya mungkin ramai tidak menjangkakan perkara tersebut.
Permulaan musim 2020, Arif diberikan penampilan sulung oleh pengendali, Benjamin Mora ketika terikat 1-1 menentang Felda United dalam perlawanan ke-4 Liga Super. Beliau tampil dua kali pada musim pertamanya di usia 17 tahun 10 bulan – diiktiraf sebagai pemain termuda yang membuat kemunculan dalam saingan liga.
Maju terus ke hadapan, pelbagai kejayaan diraihnya sejak itu. Beliau memiliki auranya yang tersendiri ketika tampil beraksi di padang. Kematangannya juga memberikannya kelebihan untuk terus menjadi pilihan.
THE YOUNGEST PLAYER IN MSL20:
ARIF AIMAN HANAPI (FWD)@ariifaiman
JDT
17 years, 10 months & 10 days
(vs Felda United)Performance in #MSL20:
2 apps (2 subs)
19 playing minutes
0 goal
0 yellow card
0 red card#OptaJ pic.twitter.com/Gt7JxjLLbH— OptaJ (@OptaJ_Analytics) November 11, 2020
Safawi pula selepas pulang daripada tempoh pinjaman singkatnya di Portugal hanya sempat bermain dua perlawanan awal musim 2021, tetapi mengalami kecederaan di lutut yang memaksanya berehat selama tiga bulan. Seorang lagi pemain sayap mereka, Gonzalo Cabrera juga adakalanya mengalami kecederaan.
Arif mengambil peluang untuk memikat Mora dan para penyokong dengan aksi memukaunya. Kelebihannya boleh bermain di kiri dan kanan adalah faktor tambahan yang membantunya untuk tampil lebih kerap.
Penampilan terendah Safawi bersama JDT – hanya 17 peratus
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Zuraimi Zukri, peningkatan mendadak Arif telah memberi kesan besar kepada Safawi. Bermula dengan kecederaan yang dialaminya, Arif telah memintas mengambil alih posisinya.
“Pada musim lepas, Safawi kurang bermain terutamanya di pusingan pertama liga kerana dia mengalami kecederaan. Dia hanya tampil 208 minit dalam 11 aksi awal kemudiannya 671 minit pada 11 perlawanan terakhir. Ketika dia mengalami kecederaan, Arif menggunakan peluang tersebut melalui 722 minit dalam 11 aksi pertama. Tempat Arif kemudiannya dijamin dengan 524 minit pada pusingan kedua liga. Malah Arif lebih banyak bermain di pertandingan Liga Juara. Arif 756 minit dan Safawi 464 minit.”
Tambahnya lagi, bermula musim ini, Safawi belum pernah berada dalam kesebelasan utama kecuali ketika tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale dalam aksi AFC Champions League (ACL). Selebihnya beliau mula dari bangku simpanan. Menurut Zuraimi lagi, kemunculan Arif benar-benar merubah masa depan Safawi.
“Kembali kebelakang, pada tahun 2019 dimana ia tahun sensasi skuad negara, Safawi terlibat 84% perlawanan liga. Musim selepas itu menurun kepada 48%. Terus menurun kepada 44%. Sehingga perlawanan ke-9 liga musim 2022, Safawi hanya terlibat 17%.”
“17% merupakan penglibatan cukup kecil bagi pemain besar seperti Safawi.”
Apa yang Safawi boleh lakukan untuk kembali beraksi?
Bersaing, bersaing dan terus bersaing. Itulah realitinya jika mahu kekal di JDT. Di posisinya terdapat banyak saingan selain Arif Aiman seperti Ramadhan Saifullah, Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh. Beliau perlu memikat semula Mora untuk mengembalikan haknya beraksi di posisi sayap kanan skuad Harimau Selatan.
Jika tidak, beliau perlu mengubah posisinya. Kita dapat lihat bagaimana Safawi bermain di posisi nombor 10 bersama Harimau Malaya. Mungkin ini juga cara untuk beliau menjamin penampilan yang lebih banyak.
Atau seperti kata Zuraimi, Safawi boleh pertimbangkan aksi pinjaman bersama Melaka United pada musim hadapan. Namun, jika beliau selesa untuk kekal di JDT, tiada masalah beliau terus kekal sebagaimana Syamer Kutty Abba yang tiada tempat bersama skuad utama JDT tetapi merupakan nadi penting Harimau Malaya.
Masih banyak yang boleh ditawarkan Safawi Rasid kerana beliau adalah bintang yang sedang meningkat naik, tetapi ‘dibunuh’ oleh bintang dalam pembikinan, Arif Aiman. Sedar atau tidak, Safawi baru berusia 25 tahun.