Baru-baru ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah mencadangkan agar perlawanan Liga Malaysia diadakan pada waktu petang untuk menarik lebih ramai penyokong datang ke stadium.
Cadangan yang kini telah disambut baik oleh Malaysian Football League (MFL) telah mengundang persepsi yang pelbagai dari penyokong bola sepak tempatan.
Ada yang menyambut baik, tetapi ada juga yang tidak boleh menerima cadangan itu dengan alasan yang bermacam-macam.
Antaranya adalah, kehadiran akan menjadi ‘sendu’ jika perlawanan Liga Malaysia diadakan pada petang.
Namun begitu, ianya tidaklah 100% tepat, malah ada perlawanan yang berjaya menarik ribuan penyokong ke stadium dengan tiket habis dijual.
Penuh stadium tak cukup ruang
Mengambil contoh perlawanan separuh akhir Piala FA 2013 antara Terengganu dan Kelantan, ianya adalah contoh terbaik untuk membuktikan tanggapan stadium ‘sendu’ jika perlawanan berlangsung pada petang tidak betul sepenuhnya.
Perlawanan separuh akhir kedua itu dilangsungkan dengan cukup genting situasinya, dengan Terengganu cuba untuk mengejar aggregat selepas kalah 4-1 dalam perlawanan pertama di Kota Bharu.
https://twitter.com/AfiqShari/status/1544524279362252800?t=XDBsCleObEDOMATbq3beog&s=19
Semuanya nampak baik-baik saja untuk Terengganu apabila mereka berjaya memotong Kelantan dengan berhasil mendapatkan empat gol menerusi Vincent Bikana, G. Puaneswaran, Jean Effa Owona dan Abdul Manaf Mamat.
Namun, Pertembungan Pantai Timur ini sememangnya ‘panas’ hinggakan dua layangan kad merah diberikan kepada Owona dan juga Manaf.
Ianya membolehkan Kelantan menjaringkan menerusi Obinna Nwaneri dan juga Dickson Nwakaeme untuk membolehkan Kelantan mara ke perlawanan akhir dengan agregat 6-5.
Profil perlawanan ini cukup kuat auranya dan boleh menyebabkan penyokong membanjiri stadium walaupun petang:
- Separuh akhir Piala FA
- Pertembungan Pantai Timur
- Terengganu berpeluang untuk melakukan kebangkitan di laman sendiri
Faktor-faktor ini sudah cukup untuk membuatkan penyokong Terengganu dan juga Kelantan untuk datang ke stadium walaupun perlawanan dilangsungkan pada petang.
Lebih menarik, ianya turut diadakan pada hari Selasa yang merupakan hari bekerja.
Komitmen penyokong seharusnya tidak perlu dipersoal, jika ada perlawanan pastinya mereka akan hadir untuk menyokong tidak kira bila ianya diadakan.
Tetapi jika Liga Malaysia akan diadakan pada petang, seeloknya buatlah pada hujung minggu supaya tidak menganggu kehadiran penyokong terutamanya untuk perlawanan yang kurang tinggi profilnya.
Kelab seharusnya diberi pilihan sama ada hendak mengadakan perlawanan pada siang atau malam untuk aksi hujung minggu dan wajib melangsungkan pertemuan pada petang jika hari bekerja.
Apa pun, jika MFL memutuskan untuk merombak corak waktu sepak mula perlawanan, diharapnya ianya akan berlaku adil kepada semua pasukan dan tidak menyusahkan penyokong.