Ketika Liverpool mengesahkan pembelian pemain remaja Portugal Fabio Carvalho musim lalu, tidak ramai yang mengenali kelibat pemain ini selain peminat setia Fulham dan pengikut rapat saingan EFL Championship.
Di Liverpool, pemain muda Harvey Elliot tahu semuanya mengenai Carvalho kerana dia turut bersama Fulham sebelum berhijrah ke Liverpool pada 2019. Elliot hanya setahun lebih tua daripada pemain kelahiran Portugal itu.
“Carvalho adalah pemain lengkap, dia mempunyai skil, sikap yang positif, dia mampu melakukan bantuan gol dan juga mencipta jaringan. Untuk mempunyai dia di pusat latihan akan hanya membuatkan kami pemain yang lebih baik dan dia juga akan menjadi pemain lebih baik.
“Saya berharap untuk beraksi bersama dengannya musim depan dan memang saya tidak sabar. Mungkin dia boleh tunjukkan kepada semua mengapa kami membelinya,” kata Elliot kepada laman rasmi Liverpool.
Apa yang pasti, Elliot yang memulakan musim lalu dengan baik sebelum mengalami kecederaan buku lali akan bersaing bersama-sama Carvalho dalam kesebelasan utama pasukan musim ini.
Seperti Elliot, Carvalho mampu beraksi di beberapa posisi seperti sayap kanan dan kiri, serta posisi pemain tengah menyerang.
Penyambung legasi legenda
Carvalho diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Liverpool pada Ahad dan dia akan menggunakan jersi nombor 28 pada musim pertamanya.
Ia merupakan nombor sama yang diguna pakai legenda kelab, Steven Gerrard ketika musim sulung bersama skuad senior Liverpool pada 1998.
Jika dilihat daripada corak permainan, kedua-dua Gerrard dan Carvalho adalah jenis pemain berbeza, tatkala Carvalho selesa sebagai pemain sayap atau tengah menyerang, Gerarrd pula dilihat sebagai “all-rounder midfleder” yang mampu bertahan dan melancarkan serangan.
Namun, peminat setia Liverpool pasti berharap Carvalho mampu melakukan impak sama seperti Gerrard apabila menyertai kelab itu pada musim ini.
Kehadiran Carvalho mungkin membolehkan pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengunakan formasi lain selain 4-3-3, kemampuan Carvalho mengisi posisi nombor 10 juga mungkin memberi variasi buat pasukan barunya mengunakan formasi 4-2-3-1.
Masih terlalu awal untuk kita membuat ramalan sama ada Carvalho akan berjaya atau tidak bersama Liverpool dalam saingan Premier League namun, ketika dalam saingan EFL Championship bersama Fulham musim lalu, bekas pemain remaja England ini melakukan 10 gol dan lapan bantuan gol.
Carvalho juga terlibat dengan gerakan gol setiap 158 minit perlawanan, manakala 139 rembatan yang dilakukannya adalah yang ke-15 terbaik dalam saingan liga
Namun di Premier League, saingannya lebih mencabar dan sudah pasti Carvalho memerlukan sedikit masa menyesesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan juga lawan ketika bersaing di tengah padang.
Adakah Carvalho akan jadi bintang besar di liga utama England kelak? Atau dirinya bakal hanyut dan pecah ibarat kaca seiring masa? Kita nantikan saja.