Sri Pahang FC menjadi mangsa terbaru Negeri Sembilan FC dalam aksi minggu ke-11 Liga Super 2022 apabila berjaya membenam lawan mereka itu dengan keputusan 3-0 dan ia ‘cleansheet’ ke-4 buat Syihan Hazmi.
Selepas tewas tipis 1-2 kepada Sabah FC sebelum ini, mungkin mereka merasakan cabaran daripada satu lagi pasukan di ‘top 3’ liga mampu ditangani mereka, namun sebaliknya berlaku apabila mereka tewas besar.
Negeri Sembilan mengawal hampir sepenuhnya perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Sri Pahang tampak gagal merencana sesuatu yang berbahaya buat benteng tuan rumah.
📹 HIGHLIGHTS: @nsfc1923 3-0 @OfficialPahang
Gustavo, Yashir Pinto dan Matheus Alves menjaringkan gol yang membolehkan Negeri Sembilan meraih kemenangan dan seterusnya melonjak ke tangga kedua Liga Super.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/IYcCTpNM2G
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 25, 2022
Minit ke-34, selepas setengah jam perlawanan berlangsung, penyerang import baharu mereka, Gustavo Almeida akhirnya memecah kebuntuan perlawanan dengan jaringan hasil sepakan percuma diambil Khuzaimi Piee.
Ia merupakan gol tunggal di babak pertama sebelum seorang lagi pemain import baharu mereka, Yashir Pinto berhasil melakar jaringan kedua buat tuan rumah di minit ke-48, menewaskan Mamadou Samassa di gawang.
Lima minit berselang, giliran seorang lagi pemain import, Matheus Alves menjarakkan kedudukan buat Negeri Sembilan dengan jaringan ketiga selepas menerima tampanan Gerold Goulon hasil sepakan percuma Khuzaimi.
Peluang terbaik Sri Pahang hanya hadir pada minit ke-65 melalui rembatan deras Azam Azih namun berjaya diselamatkan penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi yang melalui malam tanpa bolos buat kali ke-4 dan merupakan ‘cleansheet’ ke-3 berturut-turut selepas aksi menentang Kedah Darul Aman FC dan Melaka United.
📊 KEDUDUKAN – LS11#LigaSuper2022 pic.twitter.com/q1KEkbFtRM
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 25, 2022
Syihan menampil sekali lagi aksi cemerlang apabila menumbuk keluar percubaan Shahrul Nizam di minit ke-79.
Syihan yang baru selesai tugasan bersama skuad kebangsaan di pusingan kelayakan Piala Asia tempohari nampaknya semakin bersemangat untuk beraksi cemerlang agar tempatnya ke Piala Asia 2023 terus terjamin.
Beliau diturunkan dalam aksi terakhir kelayakan ketika Harimau Malaya membenam cabaran Bangladesh dengan keputusan 4-1 seterusnya mengesahkan tiket ke kejohanan tertinggi di Asia itu selepas 42 tahun.
Kemenangan ini membantu The Jangs melonjak ke kedudukan ke-2 Liga Super sementara Tok Gajah turun ke kedudukan ke-10 biarpun merombak barisan pemain mereka di jendela perpindahan kedua baru-baru ini.