Terengganu berjaya meraih kemenangan ketiga mereka pada musim ini dalam saingan Liga Super setelah cemerlang menundukkan Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.
Walaupun pada awal dua perlawanan musim ini Terengganu mencatat kekalahan, selepas itu mereka tidak menoleh belakang lagi untuk mencipta momentum kemenangan dan meneruskan karakter selaku pencabar kejuaraan Liga Super 2022.
🏴🏳️ KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN LIGA SUPER 2022 🏴🏳️
FT Terengganu FC 2-0 Kuala Lumpur City FC
⚽️Habib Haroon 75'
⚽️Manuel Ott 81'Alhamdulillah! Kita mulakan kembali saingan liga dengan 3 mata penuh perlawanan!#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/LpI5ANt6hQ
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) June 18, 2022
Menurut Nafuzi Zain selaku pengendali utama Terengganu, beliau menganggap perlawanan semalam merupakan permulaan terbaik buat mereka setelah menewaskan KL City selepas beberapa bulan kelab ini tidak menghadapi perlawanan bersifat kompetitif.
Pengendali muda berbakat besar itu juga melihat kejayaan semalam bakal menyuntik semangat motivasi dalam kalangan pemain untuk memberi aksi lebih baik pada perlawanan seterusnya serta mencatat kemenangan untuk membantu pasukan.
“Setiap perlawanan Liga Super amat mencabar dan bukannya satu tugas mudah untuk menang.
“Jadi saya amat berpuas hati kerana pemain telah berjaya menghadiahkan tiga mata kepada penonton setia skuad Penyu,” katanya ketika ditemui Bernama selepas perlawanan aksi Liga Super antara TFC dengan KL City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.
Dalam aksi tersebut, Terengganu nyata menggunakan kelebihan mereka selaku tuan rumah untuk menguasai perlawanan dengan dua gol berjaya terhasil untuk menewaskan KL City.
Dua gol tersebut diledak oleh oleh pemain tengah import Terengganu iaitu Habib Haroon pada minit ke-74 serta Manuel Ott enam minit kemudian untuk mengesahkan kemenangan ketiga mereka.
Kemenangan tersebut nyata berjaya melonjakkan Terengganu dari tangga ke-11 carta Liga Super kepada kedudukan keenam dengan sembilan mata berjaya dikumpul daripada lima perlawanan dihadapi mereka.
@FCTerengganu berjaya khabat ke tangga ke-6 liga selepas perlawanan ke-5 🏴🏳️#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/hxUGIbdpH1
— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) June 19, 2022
Dalam masa sama, pengendali KL City iaitu Bojan Hodak melihat kegagalan anak buahnya untuk meledak gol menjadi salah satu punca mereka tewas biarpun ada mencipta beberapa peluang berbahaya sepanjang perlawanan.
“Terengganu mempunyai ramai pemain berkualiti. Mereka berbahaya. Kita berjaya menyekat pergerakan Sherman (Kpah Sherman) dan Tchetche (Kipre Tchetche), namun pemain yang tidak dijangka pula menjaringkan gol,” katanya.