Bekas penyerang Manchester United dan Manchester City, Carlos Tevez telah mengesahkan persaraannya selepas mengakui tidak mampu bermain sejak kematian bapanya pada tahun lalu.
Pada usia 38 tahun, Tevez dalam satu temubual stesyen televisyen turut mendedahkan kehidupannya yang ‘tunggang terbalik’ membuatkan dirinya tidak mampu lagi memberi fokus sebagai pemain profesional.
Malah beliau juga telah menolak tawaran dari liga Amerika Syarikat, Major League Soccer (MLS) yang diterima selepas meninggalkan Boca Junior pada Jun tahun lepas.
Tevez beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) dari 2006 hingga 2013 di mana beliau membantu West Ham United terselamat dari penyingkiran pada musim pertamanya sebelum berhijrah ke dua pasukan Manchester yang penuh warna-warna kontrovesi.
Tevez kehilangan bapanya itu pada Februari 2021 akibat komplikasi Covid-19. Segundo Raimundo merupakan bapa angkat selepas bapa kandungnya meninggal dunia sebelum beliau dilahirkan.
Carlos Tevez confirms his retirement from football 🤝
The passing of his father was the main reason he decided to stop playing. pic.twitter.com/Od3HxWTKHo
— GOAL (@goal) June 4, 2022
“Malangnya, orang tua saya tidak berpeluang untuk selamat. Ia merupakan detik sukar buat seluruh keluarga saya,” ujar Tevez.
“Walaupun saya pernah menang 29 kejuaraan sepanjang karier, saya tidak mampu melalui hakikat ini. Sebagai ayah, saya sendiri susah nak terangkan kepada anak perempuan saya tentang datuknya. Ia situasi yang sukar buat semua orang.”
Ditanya mengenai masa depannya, Tevez akhirnya mengumumkan persaraannya buat kali pertama selepas hampir setahun tanpa sebarang kelab dan turut bergelut dengan berat badannya.
“Saya bersara, itu pasti. Walaupun saya ada terima beberapa tawaran termasuk dari Amerika Syarikat, tapi cukuplah. Saya rasa sudah berikan segalanya,” tambahnya lagi.
“Bermain pada tahun lepas pun sudah cukup sukar selepas kehilangan orang tua saya. Saya berhenti bermain kerana saya telah kehilangan peminat nombor satu.
“Saya makan empanada (sejenis roti), minum fernet, wain dan apa sahaja yang saya nak. Saya cuba juga untuk jaga badan, tapi sekarang berat saya dah bertambah tiga atau empat kilo. Saya bangun pagi pun lambat, jadi saya tak boleh bayangkan jika saya perlu pergi latihan dan berlari.
Argentina forward Carlos Tevez has officially retired from football.
The news of his father's death was a contributing factor.#3Sports pic.twitter.com/RChVmxNOdS
— #3Sports (@3SportsGh) June 4, 2022
“Kalau dulu saya akan bangun jam enam pagi untuk ke pusat latihan. Saya akan tiba paling awal dan balik paling lewat. Tapi sekarang saya tak rasa ada kekuatan untuk lakukannya.
Sebelum berhijrah ke England untuk menyertai West Ham, Tevez memulakan kariernya di Boca Juniors sebelum berpindah ke Corinthians.
Beliau juga sempat beraksi untuk Juventus dan Shanghai Shenhua dan menamatkan kariernya dengan rekod 308 gol dari 746 penampilan. Beliau turut mengumpul 76 kaps untuk Argentina dan menjaringkan 13 gol di peringkat antarabangsa.