“Pemain Ke-12 Penting Untuk Pasukan” – Safiq Rahim Terus Tagih Sorakan Penyokong Harimau Malaya

Malaysia terus tampil positif dengan meneruskan momentum apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi persahabatan Tier 1 apabila berjaya menewaskan cabaran Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan keputusan 2-0.

Antara yang mencuri tumpuan pastinya mengenai ledakan gol kedua skuad kebangsaan menerusi pemain tengah, Safiq Rahim apabila beliau kali terakhir meledak gol buat negara pada bulan September 2015 lalu ketika menentang Arab Saudi.

Menurut Safiq, aksi sebenar iaitu kelayakan Piala Asia bakal membuka lembaran baharu buat skuad kebangsaan untuk mencipta peluang melayakkan diri ke peringkat lebih jauh jika pemain terus fokus di atas padang.

Tambah beliau, peluang sebegini seharusnya tidak boleh dilepaskan begitu sahaja kerana Malaysia mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri iaitu SNBJ untuk mendapat sorakan padu para penyokong setia Harimau Malaya.

“Peluang ini tidak akan datang lagi, saya dan semua rakan sepasukan harus menjalankan tanggungjawab sebagai pemain. Kita memang mahukan kejayaan dan mahu layak ke pusingan seterusnya. 

“Jadi, saya harap semua peminat bola sepak di Malaysia dapat mendoakan pasukan. Pemain ke-12 amat penting untuk pasukan, jadi sokonglah walau di mana pasukan berada, kami sebagai pemain mengharapkan sokongan daripada semua,” katanya menerusi BERNAMA.

Safiq menjadi antara tonggak yang dipanggil oleh pengendali baharu negara iaitu Kim Pan-gon dalam siri dua perlawanan persahabatan ini dan pemain tersebut berjaya mempamerkan aksi cemerlang sepanjang diberi peluang beraksi di bahagian tengah.

Pada aksi semalam, Safiq dimasukkan selaku pemain gantian dan berjaya meledak gol kedua negara menerusi sepakan percuma pada penghujung perlawanan setelah Safawi Rasid terlebih dahulu membuka jaringan buat negara menerusi penalti di separuh masa pertama.

Dalam masa sama, Safiq turut menyatakan motivasi pasukan semakin meningkat naik setelah menerima sokongan padu daripada para penyokong yang hadir menyaksikan dua perlawanan persahabatan tersebut.

Beliau juga mengakui bakal tampil lebih baik kerana terkesan dengan sorakan tersebut dalam aksi akan datang menentang Turkmenistan.

“Alhamdulillah, kita dapat bagi yang terbaik untuk pasukan (dalam dua perlawanan persahabatan) dan ada beberapa kekurangan akan diperbetulkan, (dan) kita masih ada masa lagi sebelum perlawanan pertama,” katanya.

Malaysia bakal mengharungi tiga aksi dalam peringkat Kumpulan E pada perlawanan kelayakan Piala Asia dengan menentang Turkmenistan terlebih dahulu pada 8 Jun dan diikuti Bahrain serta Bangladesh.

Malaysia bakal menamatkan penantian mereka lebih 40 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit sekiranya mereka muncul juara peringkat kumpulan atau muncul selaku lima pasukan terbaik di tangga kedua dalam aksi kelayakan.

Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia secara merit adalah pada tahun 1980 di Kuwait dan pada tahun 2007 skuad kebangsaan beraksi di saingan tersebut kerana menjadi tuan rumah.

Kredit gambar: FAM

Sumber:
BERNAMA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN