Selepas 10 Tahun Menang ‘Treble’, Pemain Kelantan Masih Menanti Hadiah Lot Rumah

Rizal Fahmi Rosid

Musim 2012 adalah era yang cukup gemilang buat pasukan Kelantan apabila mereka berjaya merajai bola sepak Malaysia dengan jayanya.

Pada saingan Liga Malaysia 2012, Kelantan pada ketika itu berjaya merangkul tiga gelaran dengan memenagi Liga Super, Piala FA dan juga Piala Malaysia.

Kelantan pada ketika itu menamatkan saingan 14 pasukan Liga Super dengan 60 mata – 10 mata mengatasi Lions XII yang berada di tangga kedua.

Mereka kemudiannya menjuarai Piala FA dengan menumbangkan Sime Darby 1-0 sebelum menewaskan ATM pada perlawanan akhir Piala Malaysia dengan jaringan 3-2.

Kejayaan itu meletakkan nama Kelantan dalam peta bola sepak Malaysia selepas sekian lama dianggap pasukan kerdil.

Pujian melambung diberikan buat pasukan yang diketuai Badhri Radzi itu, malah pelbagai janji habuan turut diberikan kepada mereka.

Namun, janji tinggal janji.

10 tahun masih menanti

Memasuki 10 tahun selepas era gemilang Kelantan itu, mereka yang menyumbang kudrat kepada kejayaan tersebut masih lagi belum menikmati ganjaran yang telah dijanjikan.

Menurut bekas pemain pertahanan, Rizal Fahmi Rosid, beliau masih lagi menanti-nantikan janji tersebut untuk ditunaikan oleh pihak yang berjanji itu.

Ketika itu, semua ahli skuad Kelantan dijanjikan dengan lot rumah sekiranya berjaya melengkapkan gelaran treble oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) pada ketika itu iaitu Tan Sri Annuar Musa.

Dalam hantaran beliau di Instagram, Rizal membandingkan janji yang diterimanya dengan apa yang diperoleh skuad Piala Malaysia Selangor 1995 yang akhirnya menerima Rumah Selangorku selepas 27 tahun menanti.

“Setelah 27 tahun skuad Piala Malaysia Selangor akhirnya dapat habuan yang telah dijanjikan oleh majikan,

“Tetapi skuad Kelantan FC yang merangkul kejuaraan tiga piala pada tahun 2012 belum mendapat habuan yang dijanjikan. Tiga piala tu bukan biasa-biasa,” kata Rizal.

Rizal mempersoal adakah beliau dan rakan-rakan perlu menunggu 27 tahun juga seperti skuad Piala Malaysia Selangor untuk memperoleh lot rumah yang dijanjikan itu.

“Ke kena tunggu 27 tahun dulu baru boleh nak merasa? Maknanya lagi 16 tahun la tu, itu pun kalau hidup lagi,

“Ke kira mudah dah tak ada dah [habuan], kalau ada rezeki tak ke mana,

“Doa yang baik-baik mana tahu bulan jatuh ke riba,” tambah Rizal lagi.

Rizal Fahmi Rosid berbakti buat Kelantan selama tujuh tahun sejak 2006 sebelum menyertai Selangor pada 2014.

Beliau yang beraksi sebagai pemain pertahanan kanan dianggap sebagai antara watak penting pasukan itu selain pemain-pemain lain seperti Khairul Fahmi Che Mat, Shakir Shaari dan Norfarhan Muhammad.

Beliau kini sudah bersara dan menjadi jurulatih pasukan Laksamana 30 Gombak yang beraksi dalam saingan Selangor Champions League 2021.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN