Setiap kali pasukan negara disanjung oleh peminat selepas berjaya meraih kejayaan di peringkat antarabangsa, beliau adalah antara individu yang paling gembira dan merasa bangga dengan pencapaian tersebut.
Tetapi apabila pasukan negara menerima kritikan yang adakalanya menjadi cemuhan di luar norma kebiasaan, Reuben juga pasti terpalit dan merupakan antara individu yang paling terkesan.
Tidak seperti peranan jurulatih dan pemain yang akan disanjung setiap kali pasukan negara meraih kemenangan, hakikatnya populariti bukanlah perkara yang sinonim untuk seorang jurulatih kecergasan.
Biar gambar berbicara
Beberapa hari yang lalu, perkongsian pegawai media pasukan skuad B-23 negara di Sukan SEA, Ahmad Fazli Mohd Yadi di akaun Twitter miliknya mencuri perhatian penulis.
Ahmad Fazli atau lebih dikenali sebagai Ajis di kalangan pengamal media berkongsi sekeping foto memaparkan Reuben mengusung Hairiey Hakim yang mengalami kecederaan untuk kembali ke kawasan teknikal – selepas rawatan awal diberikan di dalam padang – akibat kecederaan.
Benar, kebiasaannya ianya adalah tugas pihak penganjur untuk menyediakan kakitangan perubatan dan pengusung untuk membawa pemain yang mengalami kecederaan.
Berat mata memandang, berat lagi bahu coach @reubenjude79.
Unsung hero! pic.twitter.com/fsLyA7kIpq
— Ahmad Fazli Mohd Yadi (@SangAjiz) May 7, 2022
Entah mengapa, situasi tersebut memaksa Reuben untuk mengusung sendiri Hairiey Hakim untuk segera mendapatkan rawatan lanjut selepas itu.
Satu perkara yang pasti, tindakan oleh Reuben itu didorong secara spontan yang mengambil kira keperluan pemain pada ketika itu. Ia juga indikasi jelas betapa komitednya Reuben dalam menjalankan tugasnya.
Wira tidak didendang bola sepak negara
Nama Reuben Jude Balraj mungkin agak asing di kalangan peminat bola sepak tempatan.
Tidak ramai yang menyedari, beliau sebenarnya adalah antara individu paling berpengalaman di dalam bola sepak tanah air.
Sebagai jurulatih yang pakar di dalam aspek fizikal pemain, tugas utama Reuben adalah untuk mengukur tahap kecergasan seseorang pemain dan mengatur program yang sesuai untuk mengoptimakan prestasi pemain di dalam padang.
Kerjaya beliau di dalam bidang kejurulatihan fitness and conditioning bola sepak di negara ini bermula pada 2009 bersama Persatuan Bola Sepak Melaka di dalam saingan Liga Malaysia.
Selepas itu Reuben turut pernah berkhidmat bersama beberapa pasukan lain termasuk membantu Kelantan FA pada era kegemilangan pasukan daripada Pantai Timur itu mendominasi arena bola sepak tempatan sekitar 2010 sehingga 2012.
Tugas utama Reuben bersama Kelantan pada ketika itu ialah untuk memastikan barisan pemain skuad The Red Warriors bimbingan Bojan Hodak sentiasa berada di dalam keadaan terbaik sehingga berjaya meraih treble dengan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2012.
Dilamar FAM
Selepas meninggalkan Kelantan, Reuben kemudiannya menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama dua musim sebelum dilamar oleh FAM pada 2014.
Memiliki kelulusan di dalam bidang Sains Sukan dari Universiti Malaya, Reuben pernah berkhidmat bersama beberapa jurulatih di dalam pasukan negara seperti Dollah Salleh dan Datuk Ong Kim Swee.
Antara tugasan yang paling tidak dapat dilupakan oleh Reuben sudah tentu ketika membantu skuad B-19 negara muncul juara Piala AFF B-19 di Indonesia.
Reuben memainkan peranan cukup besar pada ketika itu memastikan barisan pemain negara berada di tahap terbaik berhadapan pasukan tuan rumah peringkat di peringkat separuh akhir sebelum menewaskan Myanmar di aksi final.
Bukan sahaja diuji secara fizikal kerana perlu menempuhi beberapa perlawanan di dalam tempoh yang singkat, skuad negara pada ketika itu turut diuji secara psikologi kerana perlu berhadapan dengan ribuan penyokong tuan rumah di Stadium Gelora Delta, Sidoarjo.
Itulah antara tugasan dan tanggungjawab Reuben. Peranan beliau bukan sekadar sebagai jurulatih kecergasan. Malah beliau turut memikul setiap keperluan pasukan termasuk daripada segi emosi dan mental pemain.
Selagi boleh pikul, Reuben Jude Balraj akan pikul pemain ke mana sahaja. Demikianlah peranan beliau yang lebih daripada sekadar seorang jurulatih kecergasan pasukan negara.
Selain tugasan di Indonesia, Rueben juga adalah jurulatih kecergasan yang membantu Kim Swee membawa skuad B-23 negara mara ke suku akhir Piala AFC B-23 di China pada 2018.
Ia adalah pencapaian terbaik negara di pentas Asia untuk saingan peringkat umur sehingga ke hari ini.
Naik pangkat
Buat masa ini Rueben Jude Balraj sedang sibuk membantu skuad kendalian Brad Maloney di Sukan SEA.
Kerana ketekunannya dalam menjalankan tugas, Rueben turut diberikan peranan untuk mengetuai Pasukan Prestasi Tinggi untuk membantu skuad Harimau Malaya, seperti yang diumumkan oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell pada Mac lalu.
Antara tugas utama Pasukan Prestasi Tinggi yang diketuai oleh Reuben adalah ini untuk menyusun keputusan-keputusan ujian, analisis perlawanan, laporan kecederaan dan sebagainya untuk digunakan sebagai perbandingan dan juga perancangan masa depan pasukan negara.
Ini bermakna Reuben turut akan bekerja rapat dengan Ketua Jurulatih skuada Harimau Malaya, Kim Pan-gon selepas ini.
Buat Reuben Rueben Jude Balraj, selamat maju jaya di dalam setiap bidang yang anda ceburi!