Sudah agak lama Syafiq Ahmad tidak menjaringkan gol, namun berdepan Melaka United malam tadi, beliau akhirnya mencetak namanya semula di senarai penjaring Kedah Darul Aman dengan satu ledakan torpedo.
Ketika itu, Kedah dan Melaka United sedang terikat dengan kedudukan 1-1 dan Syafiq Ahmad muncul sebagai penjaring gol pendahuluan semula buat tuan rumah di minit ke-37 untuk Sang Kenari memimpin perlawanan.
Ia perlawanan yang menarik buat penyokong kedua-dua pasukan apabila aksi serang balas telah ditampilkan sepanjang perlawanan. Mungkin motivasi untuk menang menghantui kedua-dua pasukan pada ketika ini.
Kedah terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Ngah Wanja pada minit ke-20 hasil hantaran Syafiq Ahmad di depan kotak penalti untuk disudahkan dengan rembatan deras penyerang tersebut menewaskan Bryan See Tian Keat buat kali pertama. Itu adalah jaringan peribadinya yang ke-4 dalam tujuh penampilannya.
Pelawat tidak menunggu lama apabila akhirnya, Ifedayo Olusegun menyamakan kedudukan tiga minit berselang selepas menerima hantaran lambung ke dalam kotak penalti oleh pemain sayap, Wan Zaharulnizam Zakaria.
Saat inilah Kedah terus memburu jaringan pendahuluan dan akhirnya penyerang skuad kebangsaan itu muncul sebagai penjaring gol. Ledakan torpedo Syafiq Ahmad berjaya memukau Bryan See untuk penjaga gol yang membuat penampilan keduanya musim ini hanya mampu melihat gawang golnya bergegar di minit ke-37.
37' GOL | Syafiq Ahmad melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti!@kda_fc 2-1 @MelakaUnitedFC #LigaSuper2022 pic.twitter.com/cyqKqxjgDx
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 6, 2022
Gol tersebut tidak mampu meneruskan kebangkitan Sang Kenari, sebaliknya Hang Tuah yang bangkit mengejar. Minit ke-79, Emmanuel Oti menghidupkan peluang Melaka United untuk tidak pulang dengan tangan kosong.
Kesilapan dibuat oleh penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal setelah gagal untuk mengeluarkan bola dengan lebih baik sebelum pemain tengah import tersebut menyambar peluang terhidang dengan rembatan deras.
Di saat kedua-dua pasukan dilihat mungkin akan berpuas hati dengan keputusan seri, Ifedayo Olusegun sekali lagi muncul sebagai penjaring gol di minit-minit akhir perlawanan. Norshahrul Idlan Talaha mempamerkan kelincahannya memperdaya dua pemain Kedah sebelum melambung ke depan pintu gol untuk ditanduknya.
Kekalahan ini menyaksikan Kedah jatuh ke tangga ke-4 Liga Super 2022 – melepas peluang untuk berada di takhta, apabila Negeri Sembilan muncul sebagai pendahulu baharu liga selepas mengatasi Sarawak United 2-1. Johor Darul Ta’zim (JDT) akan turun beraksi pada minggu berikutnya untuk cubaan merampas semula takhta.